17/08/2026
Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) ini, MIROS telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Impak Sosio-Ekonomi Kemalangan Jalan Raya di Malaysia”, yang mengetengahkan skala sebenar impak kemalangan jalan raya bukan sahaja dari sudut kehilangan nyawa, malah terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.
Antara dapatan utama yang dibentangkan:
🔹 Bagi tahun 2025, Malaysia dianggarkan menanggung kerugian sosio-ekonomi sekitar RM30 bilion akibat kematian dan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya.
🔹 Nilai kerugian tersebut adalah kira-kira tiga kali ganda jumlah premium insurans kenderaan bermotor yang dibayar oleh pengguna pada tahun 2025.
🔹 Jika dibandingkan dengan komponen perbelanjaan operasi Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2025, kerugian sekitar RM30 bilion ini memperlihatkan skala impak ekonomi yang sangat besar, malah mengatasi beberapa komponen utama perbelanjaan kerajaan.
🔹 Pada tahun 2025, sebanyak 6,537 kematian jalan raya direkodkan, dengan 4,340 kematian atau kira-kira 66% melibatkan pengguna motosikal. Dapatan ini menunjukkan bahawa pengguna motosikal kekal sebagai kumpulan pengguna jalan raya yang paling terdedah.
Melalui pendekatan Value of Statistical Life (VOSL), impak kemalangan jalan raya dinilai secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira kehilangan produktiviti dan pendapatan, kos rawatan, serta kesan tidak langsung seperti kesakitan, penderitaan dan impak psikologi jangka panjang terhadap keluarga.
Dapatan ini memperkukuh hakikat bahawa usaha mengurangkan kematian dan kecederaan parah di jalan raya bukan sekadar agenda keselamatan, tetapi juga merupakan pelaburan penting terhadap ekonomi dan kesejahteraan negara.
MIROS akan terus menyokong penggubalan dasar serta pelaksanaan intervensi keselamatan jalan raya berasaskan bukti ke arah mewujudkan sistem jalan raya yang lebih selamat untuk semua.