24/05/2017
🌹TAZKIRAH 1 :
“Gembirakah Hati Kita Dengan Ramadan?”
[SIRI 1]
Assalamualaikum Warahmatullah
Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. (Riwayat Ahmad, al- Tabrani, Al-Baihaqi)
Ramadan ialah bulan yang sangat dirindukan oleh mereka yang ingin melakukan kebaikan dan dinantikan oleh orang yang beriman. Mereka sentiasa mendoakan seperti mana yang diajar oleh Rasulullah ketika berada pada bulan Rejab lagi. Doa di atas adalah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah apabila mendekati bulan yang mulia ini. Baginda telah mendidik para sahabatnya mengungkapkan doa yang mulia ini bagi mendidik hati dan jiwa mereka agar menyambut Ramadan dengan penuh kerinduan dan kecintaan.
Doa sebelum Ramadan ini merupakan persediaan mental agar kita dapat berhadapan bulan Ramadan dengan penuh penghayatan, kesediaan dan kesedaran. Persediaan ini dilakukan untuk menyediakan hati yang sedia untuk dididik, nafsu yang sedia dilentur dan jiwa yang sedia dibentuk dengan acuan keimanan. Ini membolehkan muhasabah diri dapat dilakukan untuk mengenal pasti nafsu ammarah yang menyelinap di hati yang kotor dan tersembunyi dalam jiwa yang gersang dengan cahaya keimanan. Dengan persediaan mental dan fizikal ini membolehkan kita mencapai ketakwaan yang merupakan objektif penting menerusi ibadah puasa. Allah berfirman:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang dahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa. (Surah al- Baqarah 2: 183)
Petikan daripada kitab:
30 Tazkirah Ramadhan dari Mutiara Kata Al-Marhum Tuan Guru
*Seeru 'ala barakatillah*
_Lajnah Tarbiah iTEC_