20/08/2026
KUMPULAN METACREW PSAS MEMBENTANG PROJEK KIK BAGI ANUGERAH HORIZON BAHARU KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF 2025/2026
Kumpulan MetaCrew, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia telah membentangkan projek inovasi bagi Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2025/2026 dengan tajuk MetaDash+FAsst: Sistem Pengurusan Strategik Repositori.
Projek MetaDash+FAsst merupakan inovasi pengurusan repositori yang menggabungkan MetaDash, iaitu platform pemantauan kerja secara berpusat dan masa nyata, dengan FAsst, yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam aliran kerja pengurusan metadata. Pendekatan ini membantu memperkemas proses pengarkiban dan pengurusan kandungan dalam Repositori Institusi UPM (UPM IR).
Antara impak utama projek ialah pengurangan proses input metadata daripada 24 kepada 10 langkah kerja, sekali gus membolehkan proses kerja dilaksanakan dengan lebih sistematik dan efisien. Selain itu, tempoh pemprosesan metadata artikel berjaya dikurangkan daripada sekitar 17 minit 10 saat kepada 1 minit 37 saat, dengan penjimatan 15 minit 33 saat bagi setiap artikel. Produktiviti turut meningkat daripada maksimum 27 kepada 79 rekod artikel sehari, hampir tiga kali ganda berbanding kaedah sebelumnya.
Impak inovasi ini turut menyumbang kepada pencapaian sasaran koleksi yang lebih baik, apabila 9 kategori koleksi berjaya mencapai sasaran berbanding 7 kategori yang disasarkan, di samping membolehkan sasaran artikel dicapai dua bulan lebih awal.
Tahniah dan syabas kepada Kumpulan MetaCrew atas komitmen, kreativiti dan usaha berterusan dalam menghasilkan inovasi yang memperkukuh pengurusan repositori serta menyokong transformasi digital PSAS.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi berimpak tinggi dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan Perpustakaan Sultan Abdul Samad.