17/08/2026
Salam ahbab yg dikasihi. Alhamdulillah Sheikhuna telah selamat tiba sekitar jam 11 malam tadi di Markas Banaat.
Berkongsi sedikit nasihat Sheikhuna berkenaan satu perkara yg wajib kita pegang agar hati kita tidak dilanda kepenatan dengan dunia jika kita tidak berpegang dengannya
Allah swt berfirman:
“Di langit itu rezeki kalian dan apa yg dijanjikan untuk kalian”
Allah tidak menyatakan rezekimu di bumi kerana Dia yg Maha Membahagikan rezeki. ZatNya yg Maha Tinggi tidak berhajat kepada pembahagian ini namun dinyatakan pembahagian rezeki ini agar menghilangkan keraguan dari hati orang beriman akan urusan rezekinya. Sehingga pada akhirnya orang beriman itu memahami bahawa apa yg sampai kepadanya adalah rezeki yg memang telah dibahagikan untuknya. Sayangnya kita terlalu sibuk untuk menuntut apa yg telah dijanjikan sehingga kita melupakan kewajipan yang dipinta daripada kita sebagai hamba.
Cukupkah untuk kita mengambil pelajaran dari kisah Bahlul bersama Harun al Rashid yg mana Bahlul menggambarkan kerajaan Khalifah ketika itu tidak mampu menyamai segelas air dan air kencing yg keluar dari tubuh. Bahlul menyatakan ini kepada khalifah yg mana jika kita hari ini mendengarnya dikatakan biadab. Namun Harun al Rashid tetap mendengarkan kerana tahu akan sidq (jujurnya) Bahlul dan Bahlul juga berani menyatakan begini kepada seorang khalifah kerana tiada lagi yg menjadi kepeduliannya melainkan Allah.
Lantas diringkaskan cerita, selesai solat Jumaat, keluarlah Bahlul dan Harun masing-masing menunggang keldai berdua menuju ke tengah padang pasir. Di dalam perjalanan itu, Bahlul telah berdoa kepada Allah. “Ya Allah sesungguhnya dunia telah menculik Harun daripadaMu, maka kembalikan Harun kepadaMu.”
Di tengah perjalanan Harun merasa kehausan dan minta air daripada Bahlul namun Bahlul mensyaratkan agar separuh kerajaan Harun diberikan kepadanya. Harun menganggap permintaan Bahlul adalah kegilaan dan beliau cuba bertahan sehinggalah beliau hampir rebah ke bumi lantas mengatakan: Berilah aku air dan separuh kerajaanku milikmu.
Sesudah itu Harun seakan terlupa akan nasibnya lalu masih lagi berbicara bangga akan kekhalifahannya. Sekali lagi Bahlul berdoa: “Ya Allah sesungguhnya dunia telah menculik Harun daripadaMu, maka kembalikan Harun kepadaMu.”
Tiba- tiba Harun merasa ingin buang air namun tidak mampu untuk mengeluarkan air kencing itu daripada tubuhnya. “Apakah yg telah kau lakukan pada ku Bahlul sehingga aku tak boleh buang air kecil? Doakanlah kepada Allah untukku”
Bahlul menjawab: Boleh, dengan syarat separuh lagi kerajaanmu.
Harun melihat kegilaan daripada permintaan Bahlul namun akhirnya mengalah kerana tidak mampu berbuat apa-apa lantas akhirnya Harun mengalah dan menyerahkan seluruh kerajaannya
Pada akhirnya, Bahlul mengatakan: Bukankah telah ku katakan nilai kerajaanmu tidak mengatasi nilai segelas air dan air kencing yg keluar dari tubuhmu? Aku tidak inginkan apa pun daripadanya.”
Allahu’alam. Itulah gambaran dunia yg sering kita kejar sedangkan segalanya adalah untuk kita tinggalkan. Moga Allah swt beri kita hidayah & taufiq untuk memahaminya.
Sekian menaqalkan nasihat guru mulia bersama ahbab yg dikasihi
Ukhtukum, Kautsarul Jannah
17 Ogos 2026
Markas Banaat Yusufi