24/08/2026
MEMPERKUKUH KOMITMEN PERLINDUNGAN MURID
Sempena lawatan pengoperasian semula sekolah selepas penutupan akibat jerebu di SMK Santubong dan SK Santubong, Kuching, YBrs. Encik Omar bin Haji Mahli, Pengarah Pendidikan Sarawak, telah menandatangani Surat Aku Janji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah Bawah Kementerian Pendidikan.
Penandatanganan surat aku janji ini menjadi manifestasi komitmen dan tanggungjawab warga pendidikan dalam memastikan keselamatan, kebajikan, kesejahteraan serta perlindungan murid sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap aspek pengoperasian sekolah.
Polisi Perlindungan Murid merupakan landasan penting bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat, kondusif, inklusif dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman, pengabaian, penderaan atau perlakuan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perkembangan murid.
Dalam situasi pengoperasian semula sekolah selepas penutupan akibat jerebu, komitmen terhadap perlindungan murid menjadi lebih signifikan. Setiap keputusan dan tindakan hendaklah mengambil kira kepentingan terbaik murid, di samping memastikan aspek keselamatan dan kesihatan diberi perhatian sewajarnya.
Tahniah dan syabas turut dirakamkan kepada semua guru SMK Santubong dan SK Santubong yang telah menandatangani Surat Aku Janji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah Bawah Kementerian Pendidikan.
Komitmen ini mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan seluruh warga pendidik dalam melaksanakan amanah dengan penuh integriti serta memastikan setiap murid sentiasa berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, terlindung, sejahtera dan kondusif.
“Murid Selamat, Sekolah Sejahtera, Pendidikan Bermutu.”
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak komited untuk terus memperkukuh budaya keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan murid sebagai tanggungjawab bersama demi memastikan setiap murid dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan terbaik.