04/04/2026
Alhamdulillah.. Selamat Hari Raya Aidilfitri semua. 🕌
Pastinya banyak program rumah terbuka yang akan kita hadiri..
Ingat.. Jangan membazir makanan dan boros berbelanja.
Bersederhana dan beringat itu lebih baik untuk jangka masa panjang demi kelestarian alam sekitar kita. 🌱♻️
06/02/2026
𝐉𝐎𝐌 𝐁𝐔𝐀𝐓 𝐒𝐄𝐊𝐎𝐋𝐀𝐇 𝐋𝐄𝐒𝐓𝐀𝐑𝐈! 🌱🏫
Dewasa ini, semakin ramai yang mula cakna tentang kepentingan kelestarian alam sekitar, terutamanya di sekolah. Ia bukan sekadar "trend", tetapi satu keperluan untuk masa depan anak murid kita.
Tujuannya? Selain untuk menang pertandingan (3K/Sekolah Lestari), ia sebenarnya sangat penting untuk:
✅ Mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif & ceria.
✅ Membentuk etika serta gaya hidup bertanggungjawab dalam diri murid.
✅ Menjimatkan kos operasi sekolah (elektrik/air/sisa).
✅ Menyediakan ruang pembelajaran luar bilik darjah (hands-on).
Jika cikgu ada minat nak bangunkan sekolah lestari, cikgu boleh ikut langkah awal ini: (Berdasarkan pengalaman saya selama 10 tahun)
𝟏. 𝐔𝐬𝐮𝐥𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐆𝐮𝐫𝐮 𝐁𝐞𝐬𝐚𝐫 / 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐭𝐮𝐚
Setiap agenda perlu mendapat restu pentadbir. Mungkin sekolah sudah ada fokus kebitaraan lain, tapi tak salah mencuba! Jika cadangan besar ditolak, mulakan secara skala kecil sebagai bukti (evidens). Pembangunan lestari bukan proses sekelip mata. (P/S: Kalau langkah ni cikgu 'sangkut', nanti saya kongsi tips macam mana nak 'tackle' masalah ini).
𝟐. 𝐖𝐮𝐣𝐮𝐝𝐤𝐚𝐧 𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐉𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧𝐤𝐮𝐚𝐬𝐚 (𝐀𝐉𝐊)
Wujudkan pasukan yang terdiri daripada warga sekolah. Jangan lupa libatkan pentadbir dalam senarai AJK sebagai sokongan. Libatkan juga PIBG & PIBK kerana impak program akan lebih tinggi apabila komuniti luar turut menyumbang tenaga atau kepakaran.
𝟑. 𝐑𝐚𝐧𝐜𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐚𝐤𝐰𝐢𝐦 𝐊𝐞𝐥𝐞𝐬𝐭𝐚𝐫𝐢𝐚𝐧
Setiap sekolah itu unik—ada yang di bandar, ada di pedalaman. Bajet dan ruang bukan penghalang. Cikgu hanya perlu rancang aktiviti yang sesuai dengan ekosistem sekolah.
Contoh mudah: Manfaatkan ruang bawah tangga untuk sudut tanaman cendawan, atau wajibkan setiap kelas mempunyai satu "Sudut Hijau".
𝟒. 𝐖𝐚𝐣𝐢𝐛 𝐋𝐚𝐤𝐬𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧 𝟓 𝐊𝐨𝐦𝐩𝐨𝐧𝐞𝐧 𝐔𝐭𝐚𝐦𝐚! 📑
Semasa mesyuarat jawatankuasa, pastikan cikgu masukkan 5 komponen ini sebagai agenda utama. Strateginya mudah: bincangkan sekurang-kurangnya satu aktiviti impak tinggi bagi setiap komponen berikut:
𝐊𝐮𝐫𝐢𝐤𝐮𝐥𝐮𝐦: Bagaimana elemen alam sekitar digabungjalin dalam PdP? (Contoh: Projek folio Geografi atau eksperimen Sains bertemakan kitar semula).
𝐊𝐨𝐤𝐮𝐫𝐢𝐤𝐮𝐥𝐮𝐦: Aktiviti melalui kelab dan persatuan. (Contoh: Pertandingan reka cipta bahan terbuang atau perkhemahan hijau).
𝐏𝐞𝐧𝐠𝐡𝐢𝐣𝐚𝐮𝐚𝐧: Fokus kepada landskap dan ekosistem sekolah. (Contoh: Taman herba, tanaman hidroponik, atau laluan rimbunan pokok teduhan).
𝐄𝐥𝐞𝐦𝐞𝐧 𝐊𝐡𝐚𝐬: Inisiatif kreatif yang menjadi 'signature' sekolah. (Contoh: Sistem penuaian air hujan, pemasangan panel solar, atau kempen 'Zero Single-Use Plastic').
𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬𝐚𝐧: Pentadbiran yang menyokong kelestarian. (Contoh: Polisi penjimatan kertas di pejabat atau pengurusan sisa pepejal yang sistematik).
Ingat cikgu, tak perlu buat projek mega sekaligus. Cukup sekadar satu komponen, satu aktiviti yang berterusan! 👊
----------------------------------------------------------
Ada soalan atau cadangan penambahbaikan? Jemput komen di bawah. Insya-Allah saya bantu.
Stay tuned untuk langkah seterusnya daripada saya! 🌱
09/10/2025
BENGKEL PENAMBAHBAIKAN MODUL LATIHAN KELAB KITAR SEMULA SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH
Bengkel Penambahbaikan Modul Kelab Kitar Semula Sekolah Rendah & Menengah anjuran dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung dengan jayanya pada 7 dan 8 Oktober 2025 di Hotel Dorsett Putrajaya.
Kami dari barisan warga kerja pihak Suria Lestari SK Taman Suria yang telah diwakili oleh En. Hafizul Syarafi, ingin merakamkan penghargaan kepada barisan pihak penganjur Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam - SWCorp dan En. Kumaresan M. Subramaniam, dari Bahagian Pembangunan Kurikulum - Sektor Sains Sosial, serta Dr. Mohd Munir bin Hj. Baharom dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Juga tidak dilupakan wakil pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta wakil-wakil guru sekolah rendah dan menengah dari seluruh Semenanjung Malaysia yang telah terpilih untuk bersama-sama menjayakan bengkel ini.
Semoga hasil bengkel ini dapat memberi nafas baharu kepada pendidikan kelestarian alam di sekolah, demi melahirkan generasi yang lebih cakna terhadap alam sekitar. ♻️
"Alam Lestari, Suria Menerangi!"
09/08/2025
Jumaat, 8 Ogos 2025.
Syukur alhamdulillah dan terima kasih diucapkan kepada Ustazah Zariah binti Zainudin kerana selalu berhubungan dengan kami dalam proses pemurnian kitab suci alQuran dan naskhah terbitan agama.
Pintu kerjasama kami sentiasa terbuka dan kami berasa gembira kerana dapat berurusan bersama puan serta warga Kolej Vokasional Perdagangan.
Sejujurnya, kami dari SK TAMAN SURIA gembira sekiranya diberi peluang untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bimbingan dari segi pelupusan sisa pepejal dan juga item sensitif seperti bahan terbitan agama seperti ini.
Kami juga boleh membantu membuat pengumpulan sisa klinikal, minyak masak dan enjin terpakai di majlis atau program anjuran anda. Sesuatu yang tidak ada pada kebanyakan sekolah lain.
Nilai tambah atau wow factor kami; kami ada beberapa orang guru dan ahli PIBG yang berpengalaman yang boleh bekerjasama untuk mengadakan/menyertai program sharing session, sesi townhall dan juga menganjurkan Focus Group Discussion (FGD) bertemakan kelestarian sekiranya perlu. Di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat komuniti juga sekiranya berpeluang.
Insya-Allah, kami boleh mendapatkan rakan kerjasama untuk program anda. Dan anda juga akan menerima bimbingan untuk belajar mandiri dalam program kelestarian sepanjang tahun berkat kerjasama dengan kami.
Semoga jihad kelestarian kita ini istiqamah dan agenda kelestarian bagi negeri Johor secara khususnya, dapat dilaksanakan. Insya-Allah. 🤲
Majlis Agama Islam Johor
Muhibbul Quran Malaysia
05/04/2025
Warga kerja Kelab Alam Sekitar dan seluruh warga SK TAMAN SURIA ingin merakamkan ucapan takziah kepada Allahyarham Haji Hamzah Bin Atan, Pengerusi NGO Ecoknight Johor Bahru yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Ahad, 26 Januari 2025 bersamaan 26 Rejab 1446H yang lepas.
Didoakan semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman, amiin...Insya-Allah.
Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham.
Pihak sekolah amat terasa kehilangan tuan. Tuan amat rapat dan kerap membantu sekolah dalam segala aspek program kelestarian.
Semoga saham pahala tuan berterusan.
Salam takziah. 😢
30/11/2024
WORLD CLEANUP DAY 2024
Sempena Program World Cleanup Day yang berlangsung pada hari Sabtu, 21 September 2024 yang lepas, pihak Kelab Alam Sekitar melalui Cikgu Hafizul Syarafi bin Mohd Noor, yang menyandang jawatan sebagai AJK Biro 3K Persatuan Komuniti Tempua dan juga Pengerusi Kelab Alam Sekitar SK TAMAN SURIA, telah membuat sumbangan berupa minuman dan pinjaman khemah untuk menjayakan program pembersihan atau gotong-royong bersama penduduk Persatuan Komuniti Jalan Tempua, Pasir Gudang.
Berdasarkan borang pendaftaran, seramai 250 orang peserta yang telah hadir dan program ini disertai oleh beberapa agensi, misalnya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam - SWCorp, SWM Environment Sdn Bhd, para pensyarah dari Politeknik Ibrahim Sultan (P*S), Suraya Mothercare, Sukarelawan COMBI, sukarelawan SASTARI MALAYSIA, warga SMK Taman Scientex, warga UiTM Pasir Gudang, ahli JKPZ Scientex 1 dan juga warga Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang berdekatan.
Untuk sesi gotong-royong yang bermula dari pukul 8:00 sehingga 11:00 pagi ini, sebanyak 328.75kg sampah telah berjaya dikutip dan diasingkan mengikut kategori untuk dikitar semula.
Pihak kelab amat berbesar hati untuk membantu mana-mana program pembersihan yang melibatkan elemen kelestarian di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai. Oleh sebab itu, anda boleh hubungi kami untuk sebarang program kerjasama yang dirasakan sesuai di masa hadapan.
"Alam Lestari, Suria Menerangi!"
29/11/2024
Terima kasih diucapkan kepada warga Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya kerana melawat SK TAMAN SURIA pada hari Selasa, 10 September 2024 yang lepas.
Pada sesi lawatan kali ini, pihak sekolah menerima kunjungan seramai 40 orang murid dan 4 orang guru.
Disebabkan itu, pihak sekolah telah menggunakan khidmat pengawas alam sekitar (Ecotroopers) sebagai penjaga stesen-stesen kelestarian di sekolah untuk mengendalikan kumpulan pelawat yang hadir di samping memberi penerangan tentang aktiviti mereka di stesen tersebut.
Syukur alhamdulillah, program lawatan ini berlangsung dengan lancar selama 2 jam, bermula dari pukul 10:00 pagi sehingga 12:00 tengah hari.
Semoga kita berjumpa lagi di sesi lawatan akan datang. 👏
29/11/2024
Pada Khamis, 29 Ogos 2024 yang lepas, Wakil Kelab Alam Sekitar SK TAMAN SURIA, Cikgu Hafizul Syarafi bin Mohd Noor telah mewakili NGO Grass Malaysia sebagai Moderator bagi pertandingan Youth Parliamentary Debathon 2024 anjuran Malaysiakini BM yang bertempat di Bangunan Sultan Ismail, MBIP - Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Johor.
Acara debat yang bertajuk "Patutkah Malaysia Mewajibkan Pendidikan Perubahan Iklim di Sekolah?" - Sesi Ketiga ini telah dihadiri oleh YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor.
Acra yang berlangsung dari pukul 2:00 sehingga 4:30 petang ini berjalan dengan lancar dan beberapa pendebat terbaik telah dinobatkan serta menerima hadiah berupa sijil, langganan percuma berita Malaysiakini dan wang tunai.
Anda boleh menonton video acara debat ini di pautan berikut: https://www.facebook.com/mkinibm/videos/496584403004417
29/11/2024
Pada hari Rabu, 2 Oktober 2024 yang lepas, SK TAMAN SURIA telah menerima kunjungan daripada SK SRI TEBRAU, JB seramai 30 orang murid dan 10 orang guru.
Sesi lawatan pada kali ini bermula dari pukul 12:45 tengah hari sehingga 2:30 petang. Kami bersyukur kerana cuaca sepanjang sesi lawatan pada kali ini cerah dan berjalan mengikut atur cara seperti yang telah ditetapkan.
Semoga lawatan kali ini mendatangkan manfaat kepada kedua-dua warga sekolah dan semoga berjumpa lagi di lain masa! 🤝
29/11/2024
Terima kasih diucapkan kepada warga Smk Taman Johor Jaya kerana sudi mengunjungi Sekolah Lestari, SK TAMAN SURIA pada hari Khamis, 25 Oktober 2024 yang lepas.
Seramai 45 orang pelawat yang terdiri daripada pelajar, guru, AKP dan ahli PIBG telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Beberapa orang wakil ahli PIBG SK TAMAN SURIA turut hadir bersama membantu pada sesi lawatan pada kali ini untuk memudahkan perjalanan program.
Syukur alhamdulillah, kami amat berbesar hati kerana dapat menyediakan banyak stesen yang berimpak tinggi sebagai platform untuk perkongsian ilmu dan evidens hasil kerja warga sekolah untuk dipamerkan bersama.
Lawatan ini bermula pada pukul 1:00 dan berakhir pada 3:30 petang. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi berkongsi idea dan pengalaman mereka dengan kami. Semoga berjumpa lagi! 👋
21/11/2024
Pihak SK TAMAN SURIA telah menyertai Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) yang telah berlangsung dari pukul 9:00 pagi hingga 5:00 petang selama 2 hari pada 11 hingga 12 November 2024 yang lepas di Dewan Besar MBIP - Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Syukur alhamdulillah, pihak sekolah telah berjaya membawa pulang beberapa anugerah dan pengiktirafan berdasarkan kategori yang tersenarai di bawah:
1. Johan, Kategori Minyak Masak Terpakai.
2. Ke-2, Kategori Ikon Murid & Keluarga - Ahmad Amsyar Syahmi bin Ahmad Syah
3. Finalis Kategori Kitar Semula
4. Finalis Kategori Sekolah Terbaik IMELC
5. RCE Gold Medal
6. RCE Best of the Best (Sekolah Rendah)
Terima kasih diucapkan kepada warga PPKI SK TAMAN SURIA, rakan PIBG, komuniti sekolah dan kesungguhan penyelaras IMELC yang bertungkus-lumus bermula dari awal tahun lagi.
"Alam Lestari, Suria Menerangi!" 🌱