11/05/2026
PINTA JOHOR SERAH RM20,000 BANTUAN KECEMASAN KEPADA MAAHAD TAHFIZ AZIZURRAHIM
PONTIAN, 11 Mei โ Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Johor (PINTA Johor) hari ini menyerahkan sumbangan bantuan kecemasan berjumlah RM20,000 kepada Maahad Tahfiz Azizurrahim yang terjejas akibat ribut kuat yang melanda kawasan Pekan Nenas pada 3 Mei 2026 lalu.
Penyerahan bantuan tersebut diketuai oleh Ustaz Haji Anuar bin Hashim selaku Pengerusi PINTA Johor bersama barisan kepimpinan persatuan dalam lawatan khas ke maahad berkenaan.
Sumbangan sebanyak RM20,000 itu merupakan hasil kutipan dan sumbangan pelbagai pihak yang prihatin terhadap musibah yang menimpa institusi tahfiz tersebut. Antara yang turut menyumbang termasuk orang ramai, badan korporat, kumpulan yasinan, Yayasan Sultan Ibrahim serta individu-individu yang menghulurkan bantuan secara langsung mahupun tanpa nama.
Kejadian ribut yang berlaku pada Ahad, 3 Mei lalu telah menyebabkan kerosakan besar terhadap bangunan maahad termasuk bahagian bumbung utama yang diterbangkan angin kencang. Beberapa kemudahan pembelajaran dan kelengkapan pelajar turut mengalami kerosakan sehingga menjejaskan aktiviti hafazan dan pengajian harian.
Keadaan tersebut menimbulkan rasa sedih dan simpati dalam kalangan masyarakat, khususnya warga tahfiz di negeri Johor. Anak-anak tahfiz yang selama ini bertungkus-lumus menghafaz Al-Quran terpaksa berdepan suasana pembelajaran yang tidak lagi selamat dan selesa akibat bencana berkenaan.
Sebagai persatuan yang menaungi institusi tahfiz di negeri Johor, PINTA Johor memikul tanggungjawab besar dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya termasuk membantu ketika berlaku musibah dan kecemasan. Selain menjadi penghubung kepada institusi tahfiz, PINTA Johor juga berperanan menyelaras kutipan sumbangan daripada masyarakat dan pihak berkaitan supaya bantuan dapat disampaikan dengan lebih tersusun, telus dan segera kepada mereka yang memerlukan.
PINTA Johor turut melahirkan rasa bangga dan terharu melihat keprihatinan masyarakat yang bersatu hati membantu Maahad Tahfiz Azizurrahim tanpa mengira latar belakang. Semangat ukhuwah dan kebersamaan yang ditunjukkan membuktikan institusi tahfiz sentiasa dekat di hati umat Islam.
Dalam masa sama, pihak persatuan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban pihak pengurusan maahad serta membantu mempercepatkan proses baik pulih agar para pelajar dapat kembali meneruskan hafazan Al-Quran dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat.
PINTA Johor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang yang menjadi asbab bantuan ini berjaya disalurkan kepada pihak maahad. Semoga segala sumbangan yang diberikan diterima sebagai amal jariah dan mendapat ganjaran terbaik di sisi Allah SWT.
fans