18/08/2026
30 usahawan Kg. Sg. Telor raih menfaat inovasi Bizcount KUYPJ
KOTA TINGGI: Sekurang-kurangnya 30 usahawan mikro di Kampung Sungai Telor kini mampu memperkasakan pengurusan dan mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi Projek Perkasa Digital Usahawan Mikro anjuran Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) di Wisma JPKK, kampung tersebut, semalam.
Inisiatif berimpak komuniti ini bukan sekadar memberi pendedahan dalam bidang teknologi digital, malah membantu usahawan tempatan mengurus kewangan dengan lebih tersusun, membina jenama yang lebih kukuh serta memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan potensi perniagaan.
Program berkenaan dirasmikan oleh Rektor KUYPJ, Prof. Dr. Othman Ibrahim yang menegaskan komitmen pihak pengurusan KUYPJ untuk memastikan usaha pemindahan ilmu dan pemerkasaan sosioekonomi masyarakat dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar program sekali sahaja.
Menurutnya, program komuniti seperti itu akan terus diperkasakan sebagai inisiatif tahunan KUYPJ bagi memastikan ilmu, kemahiran dan teknologi yang dikongsi memberikan impak berpanjangan kepada masyarakat setempat.
Antara fokus utama projek ialah Modul 3 – latihan praktikal penggunaan Aplikasi Bizcount, iaitu aplikasi pengurusan kewangan mesra pengguna yang dibangunkan secara kolaboratif oleh Ketua Projek, Nur Marliana Mohamad dan staf Unit ICT KUYPJ.
Menurut Nur Marliana, Bizcount dibangunkan khusus bagi membantu usahawan mikro yang kebanyakannya tidak mempunyai asas perakaunan untuk merekod transaksi dan aliran tunai dengan lebih mudah menerusi telefon pintar.
Aplikasi itu turut membantu usahawan memahami kedudukan kewangan serta prestasi untung rugi perniagaan, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan dengan lebih yakin dan mengenal pasti potensi untuk mengembangkan perniagaan.
Selain Bizcount, peserta turut mengikuti Modul 1 – Teknik Pemasaran Menggunakan AI dan Modul 2 – Personal Branding bagi memperkukuh kemahiran digital serta meningkatkan daya saing perniagaan.
Program ini turut digerakkan oleh barisan pensyarah KUYPJ dengan sokongan penuntut Diploma Perakaunan KUYPJ sebagai fasilitator yang memberikan bimbingan secara one-on-one kepada peserta.
Bagi KUYPJ, pemerkasaan usahawan mikro bukan sekadar mengenai teknologi, malah usaha membina keyakinan, meningkatkan keupayaan dan membuka peluang pertumbuhan ekonomi masyarakat.
Projek itu menjadi bukti komitmen KUYPJ untuk memastikan ilmu dan kepakaran yang dimiliki dapat dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti, selaras dengan peranan institusi dalam memberi nilai dan impak di luar kampus. - MAJESTIC
17/08/2026
14/08/2026
13/08/2026
12/08/2026