22/03/2025
Santai petang
DI SEBALIK CANDU, G***A & BELACAN
Salah satu filem komedi terbaik Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dianggap oleh sesetengah pengkritik dan peminat filem tanah air.
Filem Ali Baba Bujang Lapok sememangnya sangat banyak menyelitkan nasihat, sindiran dan, kritikan masyarakat secara tersurat mahupun tersirat.
Kalau nak dikupas satu persatu sememangnya memerlukan perbincangan yang sangat panjang.
Jadi, Brader pilih satu sindiran dan kritikan masyarakat yang disampaikan oleh P. Ramlee dalam filem ini.
Brader sangat tertarik dengan babak ketika Marjina keluar membeli-belah di pasar. Ketika dia melalui jalan dipasar itu, dia didatangi oleh penjual candu dan g***a yang berniaga dijalanan secara bebas dan terbuka.
Apabila dia ingin membeli belacan, peniaga itu terpaksa menjualnya secara sembunyi kerana tidak mempunyai lesen.
"Jual candu ada lesen, jual g***a ada lesen tetapi jual belacan tak ada lesen. Saya smuggle dari Malaya." Kata peniaga itu kepada Marjina.
Menunjukkan pada zaman dalam filem itu, semuanya memerlukan lesen. Tidak kira jenis perniagaan itu halal atau haram. Jika ada lesen, semuanya akan “beres” belaka.
Babak ini agak singkat, namun ia penuh dengan maksud yang tersirat. Tersirat dengan sindiran yang ingin disampaikan oleh P. Ramlee.
Allahyarham ingin memberitahu kita bahawa, jika sesebuah kerajaan yang memerintah tidak amanah. Maka semua perkara halal atau haram tidak ada bezanya. Yang akan membezakannya adalah lesen untuk mendapatkan kelulusan.
P. Ramlee juga memberitahu kita, akan tiba suatu zaman dimana manusia terpaksa melakukan perkara baik secara sembunyi-sembunyi.
Manakala perkara yang menyimpang dengan agama, dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa malu atau bersalah. Di mana ketika itu, perbuatan baik dianggap janggal, dan perkara buruk dianggap bagus, dan menjadi kebanggaan.