02/08/2026
JUMAAT | 31 JULAI 2026
9.00 MALAM
IBU PEJABAT PSSCM CJDT
PERSEMBAHAN DEMONSTRASI PASUKAN KWD11
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK MALAYSIA CAWANGAN JOHOR DARUL TAKZIM (PSSCM CJDT)
Alhamdulillah, telah berlangsung dengan jayanya Persembahan Demonstrasi Pasukan KWD11 PSSCM CJDT yang menjadi medan penilaian akhir bagi mengukur tahap kesiapsiagaan pasukan sebelum menggalas amanah mewakili PSSCM Cawangan Johor Darul Takzim ke Program KWD11 yang bakal berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Badriyyah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengurus Pasukan, En. Abdul Sharnnaz bin Ramlan, sebelum diteruskan dengan persembahan demonstrasi bagi Kategori 1 hingga Kategori 4.
Setiap persembahan yang dipamerkan memperlihatkan kesungguhan, disiplin, kekemasan gerak, ketepatan teknik serta semangat berpasukan yang tinggi. Kesemua ini merupakan hasil daripada latihan yang berterusan, komitmen yang padu serta pengorbanan seluruh warga pasukan dalam memastikan persembahan mencapai tahap terbaik.
Selesai sesi demonstrasi, barisan Jawatankuasa Cawangan dan Penyelia telah menyampaikan ulasan, pandangan serta teguran yang membina sebagai panduan untuk memperkemaskan lagi setiap aspek persembahan agar memenuhi piawaian dan kualiti yang dihasratkan.
Majlis diteruskan dengan ucapan dan amanat daripada Yang Dipertua PSSCM CJDT, En. Sazali bin Hj. Samsudin, yang menzahirkan penghargaan kepada tenaga pengajar, pengurusan pasukan serta seluruh ahli yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan. Beliau turut menyeru agar setiap ahli sentiasa memelihara disiplin, adab, kesatuan serta nama baik persatuan dalam apa jua keadaan, di samping menghayati amanah yang diberikan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.
Kemuncak majlis diserikan dengan Majlis Penyerahan Bendera, yang menjadi simbol kepercayaan, amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Pasukan KWD11 untuk membawa nama PSSCM Cawangan Johor Darul Takzim dengan penuh maruah, semangat juang serta iltizam yang tinggi.
Semoga seluruh kontinjen sentiasa dikurniakan kesihatan, keselamatan, ketenangan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menyertai Program KWD11. Mudah-mudahan segala usaha, pengorbanan dan latihan yang telah dicurahkan membuahkan kejayaan yang membanggakan serta mengharumkan nama PSSCM Cawangan Johor Darul Takzim.
“Seni Dipelajari, Adab Dijunjung, Maruah Dipertahankan.”