11/10/2023
Setelah dibentuk generasi yang pertama, iaitu Marhalah Makkiyyah (peringkat Makkah) yang diuji selama 13 tahun, datang p**a kelompok Aus dan Khazraj daripada kalangan penduduk Madinah.
Mereka hidup bergaul dengan orang-orang Yahudi di Madinah yang menunggu kelahiran Nabi akhir zaman yang disebutkan sebelum ini.
Para ulama’ Yahudi memberikan syarahan sesama mereka bahawa sudah tiba masanya Nabi akhir zaman akan datang dan zahir. Seandainya datang, mereka berikrar untuk beriman kepadanya.
Walhal pada hakikatnya, golongan Yahudi mengharapkan Nabi akhir zaman ini adalah daripada kalangan bangsa mereka, bukan daripada kalangan bangsa Arab.
Ketika itu, Aus dan Khazraj datang ke Makkah bagi menunaikan haji. Sebagai pengetahuan, ibadat haji telah ditunaikan sejak zaman jahiliah. Ada riwayat mengatakan nabi-nabi zaman dahulu juga menunaikan haji di Makkah. Makkah dibuka oleh Nabi Ibrahim AS.
Mereka datang ke Makkah untuk menunaikan haji walaupun mengerjakan amalan-amalan syirik, bertawaf dalam keadaan bertelanjang, menyembah patung dan berhala, serta melumur darah pada berhala dan Kaabah. Walaupun bermacam-macam kerja maksiat dilakukan, namun haji tetap ditunaikan.
Kedatangan Aus dan Khazraj ke Makkah untuk menunaikan haji, digambil peluang oleh Rasulullah SAW untuk menemui pemimpin-pemimpin kabilah setelah masyarakat Makkah tidak bersedia untuk menerima Islam untuk diamalkan sepenuhnya di Makkah. Musyrikin Makkah sanggup melantik Baginda sebagai raja, pemimpin, dan hendak diberikan harta kekayaan, namun bersyarat.
Syarat yang mereka letakkan ialah Islam hanya boleh dilaksanakan sebagai suatu ibadat sembahyang sahaja. Sama sekali dilarang agar tidak dicampurkan dengan hal lain seperti usaha membaiki keruntuhan akhlak dan kehidupan jahiliah. Namun begitu, Baginda SAW menolak dengan tegas.
Hal ini demikian kerana, al-Quran ialah hidayah dan petunjuk Allah SWT untuk seluruh manusia. Allah SWT menjadikan manusia dengan akal yang mempunyai ilmu, roh, dan jasad.
Justeru mereka memerlukan hidayah daripada Allah SWT. Ilmu dan kecerdikan sahaja tidak mencukupi. Maka, kita amat memerlukan hidayah daripada Allah SWT sepertimana yang kita sebut dalam al-Quran:
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)
“Tunjukilah kami jalan yang lurus.” [Surah al-Fatihah: 6]
Al-Quran ialah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.