23/05/2024
POSTING 02
NAME: HOR SHERLYN
NO MATRIC: 300441
----------------------------------------
APAKAH JENIS GANGGUAN SEKSUAL ?
GANGGUAN SECARA FIZIKAL
Gangguan ini dapat dilihat apabila seseorang itu mendekati orang lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga menyebabkan ketidakselesaan. Antara contoh perlakuan itu ialah memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium atau meraba sehingga mangsa berasa tersinggung atau terhina. Gangguan fizikal boleh berlaku secara tidak sedar, contohnya si pengganggu seksual tersebut dalam keadaan bergurau telah menampar dan mencubit mangsa. Mangsa mungkin tidak sedar dan menganggapnya sebagai satu gurauan semata-mata. Tetapi, si pengganggu seksual akan berasa puas dan ingin menyentuh di bahagian lain p**a sekiranya perbuatannya tidak senonoh tersebut tidak di tegah.
GANGGUAN SECARA VISUAL
Perlakuan menghantar nota, surat, e-mel, sms, gambar, poster, objek atau bahan bacaan yang berunsur seksual melalui penggunaan apa jua peralatan media, peralatan elektronik, atau peralatan komunikasi merupakan salah satu kategori gangguan secara visual. Pada era moden ini, secaranya umumnya gangguan ini sering terjadi melalui dalam talian dan boleh dijelaskan sebagai apa-apa perbuatan yang dijalankan melalui internet atau lain-lain bentuk peranti elektronik atau digital yang menyebabkan seseorang berasa takut, malu, terancam, terseksa, terhina, direndahkan atau berasa tidak selesa oleh tindakan tersebut sampai sehingga ke tahap di mana seseorang itu berasa merasakan diri berada di dalam persekitaran yang berbahaya.
GANGGUAN SECARA LISAN
Tanpa kita sedari, ucapan dan lisan juga boleh menjadi salah satu bentuk gangguan seksual kerana selama ini mesti ramai yang menganggap bahawa gangguan seksual hanya boleh berlaku secara fizikal. Bentuk gangguan ini dapat dilihat dalam penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, bercerita, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, komen, pujian atau mengajukan soalan berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti seksual yang dinyatakan secara terang-terangan atau terselindung sehingga menyebabkan rasa tersinggung, terhina, terugut atau terganggu untuk berurusan dengan seseorang. Sebagai contoh pernyataan atau komen dikeluarkan berkaitan rupa paras atau tubuh badan wanita secara terperinci sehingga menyebabkan ketidakselesaan.
GANGGUAN SECARA PSIKOLOGI
Gangguan secara psikologi melibatkan perbuatan cuba merapati secara seksual, mendorong, mendesak, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual sama ada melalui surat, telefon, e-mel atau sebarang bentuk peralatan komunikasi yang menimbulkan tekanan emosi dan mental. Dalam hal ini, kebanyakan isu yang sering berlaku adalah melibatkan ugutan di mana pelaku ingin mendapatkan sesuatu daripada mangsa. Mereka akan mendesak dalam pelbagai cara seperti mengancam untuk merogol, menyebar gambar tidak sepatutnya dan banyak lagi. Si pelaku akan menggunakan kelemahan pada mangsa sebagai kunci utama dalam memastikan mangsa mengikut apa sahaja arahan mereka.