27/11/2025
πππ«ππ€ πππ§πππ§π πππ₯ππ§π£ππ°ππ§ ππππ πππ.ππ ππ’π₯π’π¨π§, πππ«ππ’π§π π π’ πππ₯ππ¦ πππ£ππ«ππ‘ πππ ππ«π’.
Kerajaan Negeri Perak telah membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion, yang merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri, merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.045 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM568 juta.
Bertemakan Perak Sejahtera: Kemakmuran Negeri, Kesejahteraan Rakyat, belanjawan tahun ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar serta keterjaminan bekalan makanan.
Belanjawan ini dirangka bagi memastikan agenda Perak Sejahtera 2030 terus bergerak dengan lebih kukuh dan berpaksikan rakyat.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan itu juga menggambarkan keyakinan kerajaan negeri terhadap kedudukan ekonomi Perak serta keperluan meningkatkan pembangunan strategik di seluruh negeri.
Sektor kesejahteraan rakyat menerima perhatian terbesar dengan peruntukan RM718.5 juta, termasuk peluasan Kad Perak Sejahtera kepada 21,000 penerima, peningkatan Bantuan Kotak Makanan, pengukuhan Jualan Sejahtera Rakyat dan Jualan Sejahtera Rahmah serta peluasan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ke Bagan Datuk.
Peruntukan RM130.8 juta disalurkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memperkasa syiar Islam menerusi pembinaan dan baik pulih masjid serta surau, pengukuhan institusi pendidikan Islam, Mahkamah Syariah dan Pejabat Agama Daerah.
Dalam aspek pendidikan dan modal insan, kerajaan memperuntukkan RM107.59 juta merangkumi Bantuan Pendidikan (RM15.95 juta), Biasiswa Menteri Besar, Tuisyen Cikgu Saarani, dan bantuan pelajar universiti (RM11.45 juta) selain peruntukan bagi pembangunan TVET berjumlah RM7 juta bagi melahirkan tenaga mahir dalam pelbagai bidang keperluan industri.
Sebanyak RM73.06 juta p**a diperuntukkan untuk keterjaminan makanan termasuk Briged Muda Petani, projek tanaman strategik dan pembangunan kebun komuniti, manakala projek infrastruktur dan prasarana asas diperkuatkan menerusi keseluruhan perbelanjaan pembangunan RM568 juta.