29/06/2023
“UNTUNGLAH AKU MENGALAMI APA YANG TELAH AKU ALAMI DAN FAHAM BAHAWA DALAM KEHIDUPAN INI, TIDAK PERNAH ADA KERUGIAN”.
Kehidupan makhluk di Bhu-mi ini tertakluk kepada hukum alam yang kedua iaitu hukum “GETASI”. Hukum GETASI bermaksud Hukum “GETARAN dan FREKUENSI”. Manu-sia adalah makhluk yang wujud dari TENAGA GETASI yang berbeda-beda SIFAT getaran dan frekuensiNya. Maka apa saja yang “difikirkan”, “diperkatakan” dan “dilakukan” oleh Manu-sia, ia akan menghasilkan tenaga GETASI tersendiri. Tenaga GETASI ini kemudiannya akan merubah sifat tenaga sedia ada kepada sifatnya yang baru.
“Niat” ada GETASI tersendiri. Lafaz niat atau “kata-kata” ada GETASI yang tersendiri dan “perbuatan” juga ada GETASI tersendiri. Gabungan “Niat”, “Kata-kata” dan “Perbuatan” “mengakibatkan” terhasilnya satu getaran lain yang menghasilkan frekuensi-frekuensi tertentu. Jika gabungan “NIAT-KATA-PERBUATAN” itu banyak yang negatif, maka frekuensi yang terhasil akan menarik tenaga-tenaga alam yang bercaj negatif. Sebaliknya, jika banyak yang positif, maka tenaga positiflah yang akan terhasil. Namun, dalam kehidupan ini, seharusnya kita sentiasa berada dalam keseimbangan (neutral), tidak terlalu positif dan tidak terlalu negatif.
NIAT - PERKATAAN - PERBUATAN
NIAT mewujudkan PERKATAAN dan perkataan mewujudkan PERBUATAN dan perbuatan mewujudkan AKIBAT. Bila kita “berniat” dan “berkata-kata” hal baik, maka “perbuatan” kita akan terdorong untuk melakukan kebaikan dan kita mendapat “akibat” baik dari perbuatan yang telah kita lakukan. Begitulah sebaliknya. Makanya, dalam hidup ini sentiasalah kita BERNIAT baik, BERKATA-KATA baik dan BERBUAT baik kerana ia akan menghasilkan GETASI yang mampu menukarkan tenaga sedia ada kepada tenaga yang lebih kuat, lebih baik, lebih dinamik dan lebih kreatif. Buddha dan Hindu memanggil GETASI TENAGA yang terhasil ini sebagai “KARMA”. Arab memanggilnya “THAWAB” dan Melayu memanggilnya “PAHALA”.
CONTOH NIAT DAN KATA-KATA YANG MENGUNTUNGKAN
Niat dan kata-kata yang baik, akan mendorong perbuatan baik yang menguntungkan. Contoh : “Untunglah aku hanya rugi berniaga RM4 ribu, sedangkan ada orang rugi RM4juta. Maka, tidaklah terkesan sangat impaknya. ~ Untunglah aku bankrap dan perniagaan ditutup, maka sekarang aku ada banyak masa untuk menguruskan keluarga, dapat berjalan-jalan buat apa yang aku s**a dan ada banyak masa untuk belajar mengenal diri. ~ Untunglah kereta aku rosak hari ni, sebab bila rosak aku dapat exercise berjalan kaki dan menikmati suasana persekitaran yang lama tidak aku nikmati. Keluar peluh membuatkan badanku lebih sihat, lebih bertenaga dan lebih rileks. Kereta rosak, menambahkan kekuatan mental aku dalam menghadapi stress dan inilah masanya untuk aku praktis hal teori ICI~ Ihsan, Cinta, Ikhlas yang telah banyak aku belajar.
Untunglah aku hanya diceraikan suami sedangkan orang lain dibunuh suami. Untunglah aku dapat merasai hidup berpoligami kerana dengannya aku makin memahami hal emosi, makin memahami hal cemburu, makin memahami hal kesunyian, hal tanggungjawab, hal berbahagi masa, hal kesendirian dan hal kerinduan. Dengannya, aku makin matang, makin kuat dan makin berdikari dalam kehidupan. Bukan semua orang berani hadapi apa yang aku hadapi. Bukan semua orang berpeluang merasakan apa yang aku rasakan.
Untunglah aku menghidap hanya satu penyakit kanser, maka lebih senang untuk aku menguruskannya berbanding dengan orang lain yang ada empat penyakit kritikal, yang hanya menunggu mati dan tak mampu nak bergerak. Penyakit ini mengajar aku agar lebih perihatin terhadap diri zahir dan diri batin. Penyakit ini membuatkan aku lebih dekat dengan Diri Tertinggi Ku. Aku ada lebih banyak masa untuk bermeditasi, ada lebih banyak masa untuk belajar memahami hal batin dan hal Ketuhanan. Kalau tak sakit, takkan ada peluang sebegini.
Hai la Badan
Hai la Nyawa
Betapa beruntungnya AKU