16/08/2026
𝐊𝐔𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐇𝐎𝐑𝐌𝐀𝐓 𝐏𝐄𝐑𝐏𝐔𝐒𝐓𝐀𝐊𝐀𝐀𝐍 𝐂𝐄𝐍𝐃𝐄𝐊𝐈𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐊𝐄 𝐃𝐄𝐖𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐒𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐔𝐒𝐓𝐀𝐊𝐀 𝐖𝐈𝐋𝐀𝐘𝐀𝐇 𝐓𝐈𝐌𝐔𝐑
Tarikh: 13 Ogos 2026, Khamis
Masa: 2.00 petang - 4.00 petang
Tempat: Bilik Mesyuarat DBP Wilayah Timur
Perpustakaan Cendekiawan, UiTM Cawangan Terengganu telah mengadakan Kunjungan Hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur pada 13 Ogos 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat DBP Wilayah Timur.
Delegasi Perpustakaan Cendekiawan yang diketuai oleh Puan Shahidatul Akhmam Rambeli, Ketua Perpustakaan Cawangan, telah disambut baik oleh En. Wan Mohd Helmy Wan Hussin, Ketua Unit Pusat Dokumentasi Melayu Tengku Anis.
Kunjungan tersebut turut disusuli dengan sesi pertemuan bersama Ariza binti Che Ismail, Pengarah DBP Wilayah Timur, serta Puan Nur Anis Salwani Awang Mohammad, Timbalan Pengarah Unit Penerbitan dan Pemasaran DBP Wilayah Timur.
Pertemuan ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara Perpustakaan Cendekiawan dan DBP Wilayah Timur, khususnya dalam aspek pemartabatan bahasa Melayu, pengembangan budaya ilmu, perkongsian sumber maklumat serta penganjuran program berkaitan bahasa, penerbitan dan literasi ilmu.
Selain bertukar pandangan dan pengalaman, sesi pertemuan ini turut membuka ruang kepada penerokaan potensi kolaborasi yang dapat memberikan manfaat kepada warga UiTM Cawangan Terengganu dan komuniti setempat. Kerjasama strategik ini selaras dengan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja menyediakan sumber rujukan, malah berperanan aktif dalam menyemarakkan pembudayaan ilmu dan pemerkasaan bahasa Melayu.
Perpustakaan Cendekiawan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak DBP Wilayah Timur atas sambutan mesra dan kesudian menerima kunjungan ini. Diharapkan jalinan strategik yang terjalin dapat terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif dan program bersama pada masa akan datang, khususnya dalam usaha memperkukuh ekosistem ilmu serta memartabatkan bahasa Melayu.
Gambar: DBP Wilayah Pantai Timur