28/01/2021
Apakah yang dimaksudkan dengan Rare Earth atau Nadir bumi? Secara amnya Rare Earth Element (REE) adalah terdiri daripada 15 unsur kimia kelas lantanid dan tambahan dua unsur scandium (Sc) dan yttrium (Y) dalam jadual berkala sebagaimana ditakrifkan oleh Kesatuan Kimia Tulen dan Gunaan Antarabangsa (IUPAC).
Dalam hal ini ‘unsur nadir’ membawa maksud unsur-unsur yang jarang ditemui ataupun mempunyai peratusan kecil di permukaan bumi. Unsur nadir seperti scandium dan yttrium turut dianggap unsur nadir bumi disebabkan faktor tersebut. Perspektif umum mengaitkan unsur-unsur REE sebagai berbahaya dan beradioakftif.
Logam-logam REE sangat penting dalam penghasilan pelbagai bahan termaju, termasuk dalam industri automotif seperti pembuatan kereta elektrik dan hibrid, bahan semikonduktor, pemacu dalam komputer, tablet, telefon dan televisyen pintar. Selain itu logam REE juga diperlukan dalam industri bateri, sistem paparan eletronik dan navigasi, magnet berintensiti tinggi, radar, sonar, pembuatan kaca dan pencahayaan.
Dalam aspek pasaran logam berasaskan REE, China pada masa kini merupakan pengeluar utama yang menguasai lebih 90% pasaran REE dunia.