25/05/2022
TAZUoC Anjur Rumah Terbuka Aidilfitri Syawal 1443H Raikan Pelajar dan Sahabat TAZUoC
Cyberjaya, 18 Mei 2022 – Tabung Amanah Zakat dan Kebajikan Universiti Cyberjaya (TAZUoC) buat julung kalinya telah mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dimeriahkan dengan kehadiran hampir seratus orang tetamu.
Ini juga merupakan program pertama TAZUoC yang dijalankan secara fizikal sejak negara mula memasuki fasa peralihan ke endemik yang bermula sejak 1 April lalu.
Tetamu jemputan terdiri daripada para pembayar zakat TAZUoC, ketua-ketua jabatan dan dekan-dekan fakulti, selain asnaf-asnaf pelajar.
Bagi salah seorang pembayar zakat, Fatin Diyana Azmi, 37 tahun, penganjuran majlis ini amat mengujakan, lebih-lebih lagi selepas dua tahun berturut-turut majlis jamuan Aidilfitri tidak diadakan di kampus berikutan pandemik COVID-19.
“Alhamdulillah, rasa seronok sebab dah lama tak berkumpul dalam majlis Aidilfitri di pejabat, di samping itu dapat juga bersuai-kenal dengan pembayar zakat yang lain dan asnaf-asnaf yang hadir,” ujarnya yang juga kakitangan Bahagian Pengambilan Pelajar UoC sejak tahun 2018.
Sementara itu, Setiausaha TAZUoC, Profesor Madya Dr Shamima Abdul Rahman selaku Pengarah Program memberitahu majlis berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancang.
Katanya, “Insya Allah kita akan teruskan pada tahun-tahun akan datang sekiranya tiada halangan. Bukan saja untuk raikan asnaf, pembayar zakat dan kakitangan yang merupakan ahli sahabat TAZUoC, tapi juga sebagai platform untuk mempromosikan pembayaran zakat menerusi TAZUoC selain bantuan-bantuan zakat yang telah kita agihkan”.
Selain jamuan makan, majlis yang diadakan di kampus itu terlebih dahulu telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan duit raya kepada 15 orang kakitangan universiti serta penyampaian bantuan sara diri bulanan kepada 24 orang asnaf pelajar.
Sumbangan disampaikan sendiri oleh pengerusi TAZUoC, Profesor Madya Mohamad Saidy Ismail.
Dalam pada itu, TAZUoC amat mengalu-alukan pembayar-pembayar zakat baru dari kalangan kakitangan dan alumni di masa akan datang untuk membantu kebajikan asnaf pelajar dan aktiviti pelajar. Sebarang pertanyaan sila hubungi Puan Eizyanti Yusoff di talian 019-2184838.