11/09/2026
Bagi pengusaha bot pelancong, pemandu teksi air, pengendali bot kerja dan kru bot domestik, tingkatkan pengetahuan serta kemahiran anda melalui KURSUS JURUMUDI BOT MATE DOMESTIC
Bot Perhentian ke Redang Wajib Patuhi Syarat Baharu Jabatan Laut
BESUT: Pengusaha bot dan pemain industri pelancongan dari Pulau Perhentian yang mahu membawa penumpang ke Pulau Redang perlu memenuhi syarat pelesenan serta keperluan teknikal ditetapkan Jabatan Laut Malaysia.
Antara syarat utama ialah nakhoda perlu memiliki Perakuan Kekompetenan (CoC) Mualim Pelayaran Domestik (MDO). Menurut Jabatan Laut, syarat itu diperketatkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi memastikan operasi bot antara kedua-dua pulau lebih selamat.
Sebelum ini, terdapat pengusaha yang mengendalikan perjalanan Perhentian-Redang, namun kebanyakan nakhoda hanya memiliki CoC Mualim Domestik Terhad (MDR). Pada masa sama, keperluan teknikal bot turut dinaik taraf bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan penumpang dipenuhi.
Isu tersebut turut dibangkitkan dalam Dialog Komuniti Pulau Redang baru-baru ini susulan kekeliruan pengusaha mengenai syarat operasi. Jabatan Laut menjelaskan bot biasa tanpa kabin hanya dibenarkan beroperasi di kawasan pelayaran seperti yang dinyatakan dalam lesen.
Jabatan Laut turut mengingatkan pengusaha supaya tidak membawa bot melebihi kawasan pelayaran yang diluluskan. Pelanggaran syarat lesen boleh dikenakan tindakan, termasuk denda maksimum RM10,000, manakala pindaan Akta A1551 yang berkuat kuasa 1 September 2026 memperuntukkan hukuman lebih berat sehingga RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Jabatan Laut pada masa sama bersedia mengadakan sesi dialog semula sekiranya pengusaha memerlukan penjelasan lanjut mengenai syarat dan keperluan operasi bot antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang.