04/01/2024
ANWAR RIDHWAN
Cerita Saya: Memoir Sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969
Pada pagi 15 Mei itu Pengetua Encik Ariffin Suhaimi mengarahkan kami semua pelajar lelaki supaya berhimpun di dewan besar. Setelah diberi penerangan ringkas supaya kami pergi menderma darah, saya dan semua teman pelajar menaiki trak-trak tentera yang sudah menunggu.
Pada malam 13 Mei apabila berita rusuhan tersebar melalui radio dan televisyen, sebahagian penduduk Kampung Congo yang ketakutan atas kemungkinan serangan orang-orang Cina di sekitar mereka, memohon perlindungan dalam kawasan sekolah kami. Berhari-hari lamanya mereka berkampung dalam kawasan sekolah.
Pada hari kami menuju ke Hospital Kuala Lumpur untuk menderma darah, pada pagi Khamis 15 Mei itu, perintah berkurung masih dikuatkuasakan. Sepanjang perjalanan dari Jalan Cheras menuju hospital saya dapat melihat rumah dan kedai yang musnah akibat kebenaran. Masih terdengar tembakan. Saya juga melihat rangka sejumlah bas, motokar dan motosikal yang hangus. Jalan begitu lengang. Tentera berkawal di simpang-simpang jalan. Kuala Lumpur spsrti padang jarak padang terkukur. Kuala Lumpur bandar yang separuh musnah, dicemari puing serta asap, seperti dalam adegan pasca perang dalam filem hitam putih yang menyeramkan.
Di Hospital Kuala Lumpur, saya antara yang awal menderma darah. Moga darah saya dapat membantu mereka yang cedera dan memerlukan, tidak kira sama ada Cina, Melayu atau apa bangsa sekalipun.