24/06/2022
*Kepentingan Kemahiran Untuk Graduan Masa Depan*
Dalam persaingan dunia kerjaya yang kian mencabar, ramai pihak beranggapan sudah cukup jika graduan hanya mempunyai kelayakan akademik serta beberapa kemahiran tertentu.
Graduan yang telah menamatkan pengajian di Institusi-institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), akan berdepan dengan cabaran yang hebat dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan serta kursus yang diambil semasa belajar. Bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian akan menghadapi kesukaran dalam mencari pekerjaan, seandainya mereka kurang menguasai pelbagai kemahiran yang perlu ada dan perlu dikuasai oleh bakal graduan ketika berada di universiti. Apatah lagi budaya persaingan dalam konteks pekerjaan sama ada dalam bidang swasta atau kerajaan semakin tinggi dan seringkali menjadi punca graduan menganggur. Menurut statistik yang direkodkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2011, seramai 32,000 graduan gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian dari universiti-universiti tempatan. Memiliki segulung ijazah sahaja tidak akan menjamin seseorang bakal graduan itu untuk terus memiliki pekerjaan. Banyak perkara yang akan diambil kira oleh majikan-majikan yang ingin menggaji mereka. Oleh itu, para bakal graduan sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan, selain daripada mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam persaingan dalam mencari pekerjaan pada masa akan datang.
Dalam konteks kesukaran graduan mencari pekerjaan ini, bukan kredibiliti bakal graduan itu sahaja dipersoalkan, malah kredibiliti universiti-universiti yang melahirkan para graduan itu juga turut sama menerima tempiasnya, terutama sekali dalam mempersiapkan mereka mendepani cabaran dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan ijazah yang dimiliki. Secara umumnya, bakal graduan perlu menitik beratkan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai ketika berada di kampus, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam mencari pekerjaan, seterusnya mampu melahirkan modal insan kepada negara. Bagaimanapun, menurut satu kajian yang dijalankan badan bukan kerajaan di New York mendapati selain mempelbagaikan kemahiran diri, penting graduan atau bakal graduan mempunyai lebih kemahiran lain. Terdapat beberapa kemahiran yang akan dinilai oleh majikan-majikan yang ingin mengambil para bakal graduan menjadi pekerja.
1) Kemahiran Berkomunikasi
2) Kemahiran Berpasukan
3) Kemahiran Penyelesaian Masalah
4) Kemahiran Kepimpinan
5) Kemahiran Pengurusan