23/08/2026
QALQALAH SUGHRA, KUBRA DAN AKBAR: BENARKAH “QALQALAH AKBAR” ITU SALAH?
Kebelakangan ini timbul dakwaan bahawa pembahagian qalqalah kepada Sughra, Kubra dan Akbar adalah salah, malah ada yang mengaitkannya dengan “fahaman sesat”. Sedangkan apabila diteliti dalam kitab-kitab tajwid, para ulama mempunyai beberapa bentuk pembahagian dan penamaan martabat qalqalah.
Sebahagian ulama membahagikannya kepada dua martabat (Sughra dan Kubra), manakala sebahagian yang lain memperincikannya kepada tiga martabat (Sughra, Kubra dan Akbar). Bahkan terdapat juga istilah lain seperti Sughra–Wusta–Kubra atau Adna–Awsat–A‘la.
Yang penting, hakikat bacaan yang diterangkan adalah sama, cuma berbeza dari sudut pembahagian dan istilah. Malah istilah “Qalqalah Akbar” mempunyai sandaran dalam khazanah ilmu tajwid, antaranya disebut oleh Imam al-Samanudi:
أَكْبَرُ حَيْثُ عِنْدَ وَقْفٍ شُدِّدَتْ
Maka tidak wajar kita mudah menghukum sesuatu istilah sebagai salah atau sesat hanya kerana berbeza dengan apa yang kita pelajari.
Dalam konteks pengajaran di Malaysia, saya lebih cenderung menggunakan pembahagian Sughra, Kubra dan Akbar kerana ia lebih mudah membantu pelajar membezakan antara waqaf pada huruf qalqalah yang tidak bertasydid seperti أَحَدْ dan yang bertasydid seperti الْحَقّ.
Akhirnya, memilih satu pendapat tidak memberi kita hak untuk menyesatkan pendapat lain yang mempunyai sandaran dalam perbahasan ulama.
Belajar satu pendapat memberi kita ilmu. Mengetahui pendapat lain meluaskan ilmu. Memahami khilaf dan menjaga adab ketika khilaf adalah tanda kematangan ilmu.
📚 Nak belajar tajwid dengan lebih mendalam dan memahami perbahasan seperti ini dengan lebih jelas?
Kredit : Ustaz Shahil