09/12/2025
إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
اَللّٰهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ.
Malam ini bumi Perak seakan kehilangan cahayanya. Dalam hening dan sunyi waktu, kita dikejutkan dengan berita yang meruntun hati — kembalinya seorang murabbi jiwa, seorang alim yang hidupnya dipenuhi ilmu, akhlak dan khidmat. Syeikh Rosli bin Iskandar telah pulang ke pangkuan ilahi sekitar jam 11 malam, 09 Disember 2025, dalam usia 61 tahun.
Al-faqir pernah menatap wajahnya, kira-kira tiga tahun lalu. Dalam pertemuan itu ada tawaduk, ada hikmah, ada cerita-cerita yang masih hidup dalam ingatan hingga ke saat ini. Kata-katanya lembut, namun bekasnya tetap kekal, seakan doa yang tidak putus mengiringi perjalanan.
Al-Marhum dilahirkan di Lambor Kanan, Parit, Perak pada 22 April 1964. Ayah dan ibunya berasal dari Sungkai — tanah yang akhirnya menjadi medan bakti dan perjuangan beliau. Sejak kecil beliau membesar dalam suasana kampung yang sederhana, namun hatinya sarat dengan cinta kepada ilmu.
Beliau meniti jalan ilmu sejak sekolah rendah dan menengah di Lambor Kanan, kemudian memulakan rehlah thalabul ilmi merentasi tanah air dan bumi Patani, dari tahun 1982 hingga 2000. Antara guru-gurunya yang membentuk watak dan jiwanya ialah:
1. Tuan Guru Haji Abdul Hamid, Kampung Sanding
2. Tuan Guru Haji Jaafar al-Hafiz, Padang Lalang
3. Tuan Guru Haji Ahmad, Padang Lalang
4. Tuan Guru Haji Hamid, Padang Lalang
5. Tuan Guru Haji Chik, Kodiang
6. Tuan Guru Baba Haji Abdullah Sarah, Bendang Badam
7. Tok Wali Lebai Desa dan ramai lagi yang barakahnya mengalir dalam kehidupan beliau.
Pada tahun 2006, al-Marhum mengambil alih pentadbiran Masjid Lama Sungkai dan menghidupkannya kembali sebagai Madrasatut Tahfizil Quran Riyadhil Jannah, di Kampung Pekan Lama, Sungkai. Dari tempat itu, lahirlah para huffaz, penuntut agama, dan anak-anak kecil yang dibesarkan dengan kalam Tuhan — menjadi kesinambungan pahala yang mengalir tanpa henti.
Hari ini, seorang ulama Perak telah pergi menemui Kekasihnya. Namun ilmu yang ditinggalkan, akhlak yang dicontohkan, doa dan nasihat yang pernah meniti di bibirnya — semuanya terus hidup, menjadi cahaya yang tidak akan padam.
اللهم اجعل قبره روضة من رياض الجنة
اللهم ارفع درجته في عليين
اللهم جازه عنا خير ما جازيت به عبدًا من عبادك الصالحين
26/09/2025
09/09/2025
09/09/2025
06/09/2025
21/05/2025
08/05/2025