25/03/2025
PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS KE-218 TAHUN 2025
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Setinggi-tinggi pujian dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan keberkatan-Nya, seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di segenap pelosok negara, beroleh kesempatan meraikan sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 pada tahun ini.
Menjangkau usia 218 tahun, PDRM kekal teguh mendepani evolusi yang mencabar dalam memelihara kedaulatan dan keselamatan negara serta ketenteraman awam. Usaha memastikan aspek kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat ini didorong oleh prinsip “striving for excellence” yang menjadi pegangan setiap warga Sang Saka Biru dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan keamanan serantau yang menjadi asas penting dalam pembangunan ekonomi negara.
Ikrar yang dilafaz memeterai janji taat setia kepada Raja, Negara, "Government of the day" serta pucuk pimpinan Pasukan harus dihayati, difahami dan dipraktikkan oleh setiap lapisan warga Sang Saka Biru. Lencana “Integriti Amalan Kita” dan slogan “Sedia Berkhidmat” yang tersemat pada seragam biru menjadi tunjang perkhidmatan yang telus serta mengutamakan kepentingan masyarakat dan negara sejajar imej profesion ini yang mulia di sisi agama.
Bertepatan dengan rukun Kemampanan Dasar MADANI yang mengangkat konotasi kebersamaan dengan membingkai kerjasama secara kolektif dan konsisten, PDRM akan terus memartabatkan tema Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada. Selaras strategi Associated & Integrated (A.I), semua elemen PDRM digesa meningkatkan kolaborasi bersama segenap lapisan masyarakat serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuklah pemain industri tempatan mahupun antarabangsa bagi meningkatkan profesionalisme, kecekapan dan keupayaan warga Pasukan melaksanakan penugasan terutamanya dalam menyelesaikan siasatan.
Sesungguhnya “teguh pohon kerana akar, kuat akar kerana tanahnya”. Begitulah kepentingan keterangkuman antara kerajaan, agensi dan masyarakat ke arah pembentukan negara yang mampan. Dengan kejituan tekad, seisi warga Pasukan membudaya dan mengakar jiwa menghayati nilai Mesra, Adil, Luhur, Amanah, Yakin, Setia, Islah dan Arif (M.A.L.A.Y.S.I.A.) yang diaspirasikan daripada Reformasi Perkhidmatan Awam dalam mendukung dasar-dasar Kerajaan.
Ibarat “condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan”, PDRM menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan, pasukan-pasukan sahabat, rakan-rakan media serta segenap lapisan masyarakat atas keprihatinan, sokongan dan perhatian yang diberikan kepada PDRM selama ini.
Buat seluruh warga Sang Saka Biru, bersamalah kita pasakkan tekad untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dengan pengukuhan dan pembudayaan nilai integriti yang tinggi, mensyukuri nikmat serta kurniaan dengan kesederhanaan, juga ihsan demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta. Bulatkanlah iltizam dan giatkan usaha, pertingkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat ke arah memartabatkan PDRM sebagai Pasukan sahabat utama dan gemilang di persada kepolisan antarabangsa.
Semoga negara berdaulat ini sentiasa dalam rahmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan dari Yang Maha Esa.
Amin Ya Rabbal Alamin.
SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS KE-218
(TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSAIN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia