05/01/2024
Faktor-faktor Berlakunya Siber Buli
1) Kurang didikan nilai-nilai agama.
Pemahaman nilai-nilai agama yang lemah oleh seseorang individu telah mempengaruhi mereka untuk melakukan perbuatan yang salah seperti terlibat dengan gejala siber buli. Disebabkkan itu, golongan ini tidak dapat membezakan samaada perbuatan buli siber itu baik atau buruk. Mereka berani dan berasa tidak bersalah untuk melakukan hal-hal sedemikian kerana diri mereka tiada asas pengangan agama yang utuh. Setiap agama melarang pengganutnya untuk melakukan perbuatan jahat kepada manusia yang lain. Oleh hal yang demikian, jika mereka tidak berpegang dan mengikuti larangan agama maka mereka akan mudah terpengaruh untuk terlibat dengan masalah seperti siber buli ini.
2) Pengaruh persekitaran.
Gejala siber buli dalam kalangan individu ini juga dipengaruhi oleh persekitaran individu tersebut. Antaranya seperti pengaruh rakan sebaya. Terdapat individu yang tidak pernah terlibat dengan gejala ini tetapi disebabkan oleh ajakan rakan mereka, individu tersebut turut ingin melakukan perbuatan yang salah tersebut. Selain pelawaan atau ajakan, mereka juga boleh dipengaruhi menerusi pemerhatian terhadap perbuatan rakan mereka. Contohnya, individu yang mempunyai rakan yang terlibat dengan gejala siber buli ini akan secara perlahan mengikuti perbuatan salah tersebut kerana sering melihat rakan mereka melakukan perbuatan tersebut.
3) Sikap tidak puas hati.
Sikap ini sangat mempengaruhi seseorang untuk melakukan perbuatan yang tidak baik terhadap individu yang lain di alam maya. Rasa tidak berpuas hati atau dengki apabila melihat orang lain berada dalam kesenangan atau kemewahan menyebabkan seseorang akan cuba untuk mengganggu keharmonian tersebut.
4) Kurang kasih sayang.
Kurang kasih sayang merupakan antara punca yang mendorong seseorang menjadi individu yang tidak baik dan melakukan kesalahan. Kebiasaannya ini terjadi kepada individu yang kurang kasih sayang daripada ibu-bapa. Asasnya kerana apabila seseorang individu berasa terpinggir maka ianya akan memberi kesan kepada mental dan tingkah laku mereka. Sebagai contoh, aktiviti harian mereka tidak dipantau dan diawasi oleh ibu-bapa mereka. Maka disebabkan hal ini, iainya boleh mendorong mereka untuk terlibat dengan gejala siber buli. Lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang banyak meluangkan masa dengan media sosial. Dalam situasi ini, golongan ini tidak peduli terhadap segala bentuk perbuatan siber buli mereka di media sosial kerana bagi mereka perbuataan tersebut tidak salah. Semuanya disebabkan nilai kasih sayang daripada ibu-bapa yang terbatas.
5) Perkembangan teknologi.
Perkembangan teknologi pada masa kini telah memberikan impak positif dan negatif kepada masyarakat. Bagi perbincangan isu ini, perkembangan teknologi merujuk kepada wujudnya pelbagai aplikasi di internet yang boleh mendatangkan pelbagai kesan kepada golongan milenial. Golongan ini boleh menggunakan mana-mana aplikasi seperti FaceBook, Instagram, Tiktok dan seumpamanya untuk melakukan perbuatan siber buli. Individu yang terlibat akan mencipta akaun palsu dan menggunakannya untuk melontarkan komen-kemen yang negatif kepada sesiapa sahaja yang tidak disukainya. Mereka tidak berasa takut kerana identiti mereka dapat disembunyikan. Oleh itu, teknologi masa kini merupakan salah satu faktor yang mendorong gejala siber buli dalam kalangan masyarakat.
Muhammad Aiman bin Zulkefli ( 286545 )