17/02/2025
LAPORAN HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN
SRAR AL-NASRIAH KG PADANG TENGGALA
Pada hari pertama sesi persekolahan di SRAR Al-Nasriah Kg Padang Tenggala, para pelajar hadir bersama ibu bapa sebelum jam 3.00 petang dengan berpakaian seragam KAFA yang lengkap, kelihatan segak dan comel. Beberapa ibu bapa juga mengambil kesempatan untuk membuat bayaran yuran persekolahan pada hari ini.
Sesi pembelajaran dimulakan dengan aktiviti ta’aruf dalam kelas, di mana murid-murid berkenalan antara satu sama lain untuk mewujudkan suasana yang mesra dan harmoni.
Pada jam 4.00 petang, semua pelajar berkumpul untuk mendengar taklimat khas yang disampaikan oleh Guru Besar, Ustaz Faiz Hamdi, diikuti dengan ucapan dari Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Ustazah Azlina Idris bertempat di dalam ruang solat Masjid Raisiah Kg Padang Tenggala.
Dalam taklimat tersebut, murid-murid diberi penerangan mengenai peraturan sekolah, termasuk pemakaian seragam, jadual dan masa pembelajaran, adab dalam kelas dan di luar, serta perjalanan aktiviti sepanjang tahun. Guru-guru turut menyampaikan nasihat umum untuk membimbing pelajar menjadi insan yang berakhlak dan berdisiplin.
Sesi pembelajaran hari pertama ini diakhiri dengan solat asar berjemaah diantara guru dan semua murid.
Para pelajar menunjukkan semangat dan keterujaan untuk memulakan sesi persekolahan KAFA yang baharu dengan tekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengamalkan ilmu agama dalam kehidupan seharian. Semoga sesi persekolahan tahun ini berjalan lancar dan diberkati.