16/12/2025
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat, kurnia serta keizinan-Nya, Majlis Konvokesyen Tadika JHEAINS Daerah Papar Tahun 2025 yang menghimpunkan lima buah tadika iaitu Tadika JHEAINS Pekan Bongawan, Tadika JHEAINS Benoni, Tadika JHEAINS Buang Sayang, Tadika JHEAINS Kampung Kuala dan Tadika JHEAINS Pengalat Besar telah berjaya dilaksanakan dengan penuh tertib, lancar serta mencapai matlamat penganjurannya.
Penganjuran majlis ini merupakan satu manifestasi komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berlandaskan nilai-nilai Islam, di samping menjadi wadah penghargaan dan pengiktirafan kepada anak-anak didik yang telah melalui proses pembelajaran dengan jayanya. Kejayaan pelaksanaan majlis ini tidak akan tercapai tanpa adanya kesepaduan usaha, perancangan rapi, sokongan padu serta kerjasama erat daripada semua pihak yang terlibat, termasuk pihak pengurusan, para pendidik, ibu bapa serta seluruh jawatankuasa pelaksana.
Sehubungan itu, besar harapan agar segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang perancangan dan pelaksanaan majlis ini diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT. Semoga kejayaan penganjuran Majlis Konvokesyen ini menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pendidikan Islam peringkat prasekolah, seterusnya melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan tuntutan syariat Islam dan aspirasi pendidikan negara.