23/04/2026
Program Student Outbound International Community Engagement (ICE) 2026 telah berlangsung dari 11 hingga 19 April, melibatkan 12 orang pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan (DKHP) daripada Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bersama 120 orang pelajar dari Universitas Airlangga, Indonesia. Pegawai pengiring, Prof. Madya Dr. Juriah Kamaludeen, turut menyertai program ICE yang berlangsung selama tujuh hari ini. Program ini merupakan inisiatif kolaborasi antarabangsa yang dianjurkan oleh Universitas Airlangga dengan kerjasama Kelab Perikanan dan Sains Haiwan (KESPH), UPMS.
Sepanjang program bersama komuniti penternak di Tuban, Surabaya, para pelajar terlibat secara langsung dalam aktiviti kerja lapangan seperti vaksinasi, penyahcacingan dan pemantauan kesihatan haiwan ternakan di bawah penyeliaan profesional. Pelajar turut mempelajari sistem penternakan tempatan yang bersifat sara diri serta intensif berskala kecil di tiga lokasi berbeza iaitu Semanding, Bancar dan Kerek. Pengalaman ini membuka perspektif baharu tentang kepelbagaian amalan penternakan termasuklah pengurusan makanan ternakan, pengurusan kesihatan penyakit serta keupayaan adaptasi komuniti penternak.
Program ini turut memperkayakan pengalaman budaya melalui interaksi bersama komuniti setempat, penglibatan dalam aktiviti tradisional, serta pendedahan kepada bahasa dan gaya hidup masyarakat di Tuban. Hubungan yang terjalin bukan sahaja memperkukuh kemahiran komunikasi dan kerjasama, malah membentuk jaringan persahabatan dan profesional yang bermakna merentasi sempadan negara.
Selain itu, perbincangan strategik antara Universitas Airlangga dan UPMS turut diadakan, termasuk penerokaan potensi kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU). Perbincangan ini memberi tumpuan kepada peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar dan staf, latihan akademik, serta pembangunan jaringan antarabangsa. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia-Indonesia dalam memperkukuh hubungan akademik dan memperluaskan impak pendidikan di peringkat global.
Secara keseluruhannya, ICE 2026 berjaya menjadi platform pembelajaran berimpak tinggi yang bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar, tetapi juga membentuk pemikiran global, daya adaptasi, dan kesedaran budaya. Program ini mencerminkan kepentingan pendidikan berasaskan pengalaman dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing, dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.