Pada tahun 1955, Sekolah Kebangsaan Kolapis telah ditubuhkan dan dikenali sebagai NVS Kolapis (Native Voluntary School of Kolapis) selepas permohonan yang tidak putus-putus oleh penduduk tempatan. Permohonan ini dilakukan kepada kerajaan kolonial yang diketuai oleh tiga orang pemimpin daripada kumpulan majoriti Brunei, Bajau dan Tidong iaitu OT Hj Majair Kapal, OT Hj Omar Abu Nawas dan seorang lag
i yang tidak dapat dikenal pasti namanya. Bangunan pertama dibina dengan menggunakan bahan-bahan binaan semulajadi seperti nipah, nibong dan kayu bakau. Bangunan ini telah didirikan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung pada November 1954 dan seramai 30 orang murid telah didaftarkan. Pada April 1963, kerajaan telah meluluskan pembinaan bangunan baru dan dua buah tempat tinggal untuk staf. Sekolah ini kemudiannya dikenali sebagai GPS Kolapis atau Government Primary School of Kolapis. Pada tahun 1969, sebuah lagi bangunan telah didirikan oleh Jabatan Pendidikan Sabah untuk menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Beberapa tahun selepas kemerdekaan, namanya telah ditukar kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Kolapis (SRK Kolapis). Pada awal tahun 1980, nama sekolah ini sekali lagi ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Kolapis (SK Kolapis) sesuai dengan arahan Kementerian Pelajaran. Selepas 50 tahun, Sekolah Kebangsaan Kolapis memiliki dua bangunan konkrit, satu makmal komputer dan lapan rumah staf. SK Kolapis telah ditadbir oleh 18 orang guru besar dan kini sekolah ini digredkan sebagai sekolah Gred A.