24/07/2022
23 Julai 2022, SABTU - SK Mutiara Perdana dengan kerjasama PIBG telah mengadakan Program Gotong-Royong MerdekaRia dan Majlis Pelancaran Sekolah Lestari Sabtu lepas.
Program ini melibatkan semua warga SK Mutiara Perdana termasuk ibu bapa penjaga dan waris serta murid-murid sekolah.
Antara kawasan-kawasan yang dibersihkan ialah mencuci longkong sekitar sekolah, menebas rumput serta mencuci kawasan pembinaan surau, mengecat koridor dan kaki lima sekitar Aras 1, mengemas dan menyusun Stor Sukan, menanam pokok-pokok bunga serta mengecat bendera Malaysia sepanjang 40 meter.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang turut sama menyertai program ini. Pihak Majlis telah membuat kerja-kerja pemotongan dahan-dahan pokok yang reput serta mengganggu kabel elektrik.
Program bermula jam 8:00 pagi dengan pendaftaran dan diikuti dengan Majlis Pelancaran Gotong Royong dan Sekolah Lestari oleh Pn. Nor Hasimah, Guru Besar pada jam 8:30 pagi. Seterusnya tugasan-tugasan diagihkan kepada ibu bapa dan murid-murid oleh En Roslan, PK Hal Ehwal Murid.
Program tamat pada jam 12:30 tengah hari dan program ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Semua yang hadir dibekalkan dengan sarapan pagi dan juga makanan tengah hari.
Pihak sekolah berharap agar program seperti ini diteruskan di masa hadapan kerana dengan adanya program sebegini, hubungan rapat antara guru, murid dan ibu bapa dapat terjalin. Selain itu, ibu bapa sendiri dapat melihat keadaan sekolah dan kelas setelah beberapa tahun kita dilanda wabak Covid-19.