02/10/2026
| Delegasi HOPE International Economic Cooperation (Wuhan) Co. Ltd. Lawat Fasiliti UTHM
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan delegasi HOPE International Economic Cooperation (Wuhan) Co. Ltd. bagi meninjau beberapa makmal dan fasiliti berkaitan kejuruteraan, teknologi automotif serta kenderaan elektrik (EV) di kampus induk UTHM dan UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Pihak UTHM diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Mas Fawzi bin Mohd Ali, Naib Canselor UTHM, yang turut mengiringi delegasi sepanjang lawatan ke beberapa fasiliti universiti.
Kunjungan di kampus induk melibatkan Pusat Latihan Kenderaan Elektrik (EV), Makmal Kejuruteraan Pengangkutan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) serta Makmal Pembakaran Dalam di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).
Menerusi lawatan tersebut, delegasi berpeluang melihat dengan lebih dekat kemudahan pengajaran, pembelajaran, latihan dan penyelidikan yang disediakan oleh universiti, khususnya yang berkaitan teknologi kejuruteraan dan pembangunan sektor automotif.
Lawatan kemudiannya diteruskan ke UTHM Kampus Cawangan Pagoh dengan kunjungan ke beberapa fasiliti di Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), antaranya Makmal Sistem Automotif, Bengkel Teknologi Elektrik Automotif, Bengkel Dinamik Kenderaan dan Makmal Metrologi.
Sesi perbincangan turut diadakan di Makmal Metrologi bagi membolehkan kedua-dua pihak bertukar pandangan serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang kenderaan elektrik (EV), teknologi automotif, pendidikan dan latihan teknikal, penyelidikan serta pembangunan bakat.
Delegasi HOPE International Economic Cooperation (Wuhan) Co. Ltd. terdiri daripada Mr. Li Zhuming, Chairman, HOPE International Economic Cooperation (Wuhan) Co. Ltd.; Mr. Gao Guohu, Chairman, Wuhan Youneng Higher Education Technology Co., Ltd.; dan Mr. Wong Hai Loon (Marcus), Malaysia Representative, HOPE International Economic Cooperation (Wuhan) Co. Ltd.
Turut menyertai kunjungan itu ialah Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib bin Leman, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh; Prof. Ts. Dr. Asmarashid bin Ponniran, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Prof. Madya Ts. Dr. Azrin Hani binti Abdul Rashid, Pengarah Pejabat Pengurusan Makmal; serta Prof. Madya Ts. Dr. Noraini binti Marsi, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), mewakili Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan.
Turut hadir, ketua-ketua makmal serta pegawai berkaitan daripada fakulti yang terlibat.
Kunjungan tersebut diharap dapat membuka ruang kepada jalinan kerjasama yang lebih luas antara UTHM dan HOPE International Economic Cooperation (Wuhan) Co. Ltd., khususnya dalam pembangunan teknologi dan kepakaran berkaitan EV, penyelidikan, latihan teknikal, pembangunan bakat serta pengukuhan jaringan industri dan antarabangsa.