12/11/2024
"Mobiliti Latihan Mengajar Antarabangsa: Kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Rajamangala University of Technology Lanna (RMUTL)"
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), melalui Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), telah melaksanakan Program Mobiliti Antarabangsa Berkredit Latihan Mengajar di Rajamangala University of Technology Lanna (RMUTL), Thailand. Program ini dijadualkan berlangsung selama 14 minggu, bermula dari 2 November 2024 hingga 8 Februari 2025, dan melibatkan tiga pelajar UTHM yang akan menjalani program latihan mengajar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemahiran praktikal dalam suasana antarabangsa.
Pelajar yang terpilih untuk menyertai program ini ialah Muhamad Afif Zikri Bin Mazzelan, Harisal Bin Anto, dan Muhammad Hafizul Iskandar Bin Zulkiffle. Mereka akan mengikuti kursus di bawah kod pengajian di UTHM, BBP 40408 – Teaching Training, dan kod kod pengajian di RMUTL, TEDCCC815 – Professional Experience, di mana mereka bakal meneroka amalan pengajaran di institusi pendidikan di Thailand sambil menimba pengalaman berharga dalam interaksi budaya dan sistem pendidikan yang berbeza.
Program mobiliti ini adalah sebahagian daripada mandat FPTV sebagai pusat pelaksanaan Program Inbound dan Outbound Student Exchange, yang bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar UTHM untuk belajar di luar negara, tetapi juga menarik pelajar antarabangsa ke UTHM. Inisiatif ini seiring dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menekankan keperluan untuk melengkapkan graduan IPTA dengan kemahiran insaniah, dalam usaha memastikan mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Dekan FPTV, Ts. Dr. Mohd Hasril Bin Amiruddin, turut menyatakan harapan beliau terhadap kejayaan program ini. Menurut beliau, “Program ini memberi peluang kepada pelajar kita untuk mengasah kemahiran praktikal dalam Program Latihan Mengajar sambil membangunkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi mereka. Kami berharap pengalaman ini akan membentuk jati diri dan ketahanan pelajar dalam mengharungi cabaran.”
Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Aini Nazura Binti Paimin @ Abdul Halim, Ketua Jabatan Latihan Mengajar dan Latihan Industri, FPTV, menyifatkan program ini sebagai satu langkah strategik yang membuka ruang kepada para pelajar untuk meningkatkan kemahiran insaniah yang sangat penting dalam dunia pekerjaan masa kini. Beliau yakin bahawa setiap pengalaman antarabangsa akan menguatkan lagi kemahiran dan keyakinan pelajar untuk menjadi pendidik yang lebih berkualiti.
Diharapkan agar Program Mobiliti Antarabangsa Berkredit ini akan memberi impak yang signifikan dalam melahirkan graduan UTHM yang lebih berdaya saing di peringkat global. Program ini juga diharap akan menginspirasi lebih ramai pelajar untuk menyertai program mobiliti demi memperluas pengetahuan dan kemahiran mereka dalam persediaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan.