12/08/2026
FSKTM UTHM PERKUKUH PROGRAM SARJANA MUDA KEJURUTERAAN PERISIAN DENGAN KEPUJIAN (BIK) MELALUI BENGKEL SEMAKAN PROGRAM
BATU PAHAT, 11 Ogos 2026 – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) , Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Bengkel Semakan Program Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dengan Kepujian (BIK) sebagai langkah berterusan dalam memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri semasa.
Bengkel yang berlangsung di FSKTM, UTHM ini diketuai oleh Ketua Program BIK, Dr. Mohd Hamdi Irwan bin Hamzah dan telah dirasmikan oleh Dekan FSKTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan bin Md. Fudzee.
Turut terlibat dalam bengkel tersebut ialah Pemeriksa Luar, Prof. Ts. Dr. Jasni bt. Mohamad Zain dari UITM dan Penasihat Industri, En. Herman bin Md. Tahir dari Appfuxion Consulting Sdn Bhd, yang berkongsi pandangan serta cadangan berdasarkan perspektif akademik dan industri bagi menyokong penambahbaikan program.
Bengkel ini turut dihadiri oleh para pensyarah Jabatan Kejuruteraan Perisian, FSKTM, UTHM yang terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan dan semakan kurikulum, khususnya dalam menilai kesesuaian kandungan program dengan perkembangan bidang kejuruteraan perisian serta keperluan profesional semasa.
Sesi semakan ini menjadi platform penting untuk mendapatkan input daripada pihak berkepentingan dalam memperkukuh struktur dan kandungan kurikulum BIK. Perkongsian daripada pemeriksa luar dan penasihat industri turut membantu memastikan program yang ditawarkan mampu memenuhi jangkaan industri serta menyediakan graduan dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang bersesuaian.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen FSKTM UTHM terhadap penambahbaikan berterusan kualiti akademik dan pengukuhan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan pihak industri dalam melahirkan graduan kejuruteraan perisian yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.