21/09/2026
FPTV UTHM PERKASA JARINGAN TVET GLOBAL MENERUSI PROJEK CRAFT2026 DI JERMAN DAN KUNJUNGAN KE UNESCO-UNEVOC
| 21 September 2026
Dua pensyarah Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM, iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail, Pengurus Pusat UNEVOC UTHM, dan Ir. Ts. Mohamad Ikhwan Juhari, telah menyertai Program Study Trip dan Bengkel Projek Coaction Initiative–CRAFT (Construction, Resilience and Attractive Future Trades) yang berlangsung dari 5 hingga 11 September 2026 di Koblenz, Jerman.
Rombongan UTHM turut disertai Ts. Dr. Noor Dina Md Amin, Pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).
Penglibatan mereka dalam program tersebut menyerlahkan kepakaran FPTV, sekali gus memperkukuh jaringan dan peranan UTHM dalam pembangunan TVET di peringkat antarabangsa.
Perbincangan Projek CRAFT dan latihan kemahiran pelbagai benua
Sepanjang program di Handwerkskammer Koblenz (Chamber of Skilled Crafts Koblenz), mereka menyertai perbincangan strategik Projek CRAFT bersama wakil antarabangsa dari pelbagai benua, iaitu Dr. Constanze Küsel dari Jerman, Bryan Madrigal Villalobos dari Instituto Nacional de Aprendizaje, Costa Rica, dan Dr. Richard Irumba dari National Curriculum Development Centre, Uganda.
Program tersebut turut merangkumi pertemuan bersama Mr. Ralf Hellrich, Pengarah Urusan Koblenz Chamber of Skilled Crafts.
Selain itu, rombongan UTHM melawat WEM GmbH, sebuah industri teknologi pembinaan mampan, bagi meninjau sistem Clayboard yang mempunyai kelebihan dalam kawalan penyejukan dan pemanasan bangunan.
Persekitaran pembelajaran amali industri di kampus Handwerkskammer Koblenz turut ditinjau, termasuk bengkel pertukangan kayu, lepaan plaster, pengecatan, kelestarian tenaga serta Center for Nutrition and Health (ZEG).
Mesyuarat penutup kemudiannya diadakan bagi menyelaraskan penganjuran bengkel susulan di Malaysia pada pertengahan Oktober 2026 bersempena dengan Persidangan Antarabangsa WoCTVET 2026.
Pertemuan khas bersama UNESCO-UNEVOC di UN Campus Bonn
Satu pencapaian penting dalam lawatan ini ialah kunjungan ke United Nations Campus di Bonn untuk mengadakan pertemuan bersama Mr. Friedrich Huebler, Ketua Pejabat UNESCO-UNEVOC International Centre.
Pertemuan ini meletakkan UTHM dalam radar kepimpinan TVET di peringkat antarabangsa, sekali gus membuka ruang penandaarasan kerangka Greening TVET, transformasi digital dan potensi kerjasama melalui UNEVOC Network.
Penandaarasan seni bina dan ketahanan binaan di Cologne
Lawatan ini turut merangkumi penandaarasan seni bina di sekitar Cologne menerusi kunjungan ke dua monumen ikonik, iaitu Cologne Cathedral (Kölner Dom) dan Cologne Central Mosque.
Lawatan ke Cologne Cathedral memberi pendedahan tentang seni bina Gothik klasik, ketahanan struktur serta teknik pemeliharaan warisan binaan yang bertahan merentas abad. Sementara itu, Cologne Central Mosque memberikan input mengenai seni bina Islam kontemporari, struktur konkrit dan kaca moden serta integrasi ruang awam dalam perancangan bandar Eropah.
Impak kepada UTHM dan TVET negara
Hasil lawatan ini bakal dimanfaatkan melalui penerapan dapatan kajian kes seni bina global dalam modul Architecture Design Studio serta pemerkasaan kurikulum Dual-TVET berasaskan piawaian Jerman.
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan penjenamaan sektor pertukangan moden (skilled trades) dalam kalangan generasi muda, malah membuka peluang mobiliti staf, penyelidikan berasaskan geran antarabangsa dan peningkatan kebolehpasaran graduan UTHM di peringkat global.
Penglibatan kedua-dua pensyarah ini menyerlahkan kepakaran FPTV di pentas antarabangsa serta memperkukuh sumbangan fakulti terhadap pembangunan TVET negara dan global.
Berita penuh: https://www.facebook.com/share/p/1CEW7zsLS7/