Ia dibuka dengan rasminya pada 1 Januari 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rengit. Ia dibina oleh kerajaan negeri Johor atas permintaan orang ramai di bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran Johor. Luas kawasan sekolah ini adalah lebih kurang 4.32 hektar. Semasa penubuhannya, sekolah ini hanya mengandungi 7 buah bangunan iaitu Blok A yang mengandungi 7 buah kelas dan pejabat. Bangunan Makmal Sains Ter
as, Bangunan Sains Rumah Tangga, Bangunan Seni Perusahaan, 2 buah bangunan tempat letak basikal, 2 buah rumah guru bertaraf G dan bangunan kantin serta koperasi. Keluasan bangunan yang dibina pada peringkat awal iaitu pada tahun 1963/1964 merangkumi keluasan 2943 meter persegi. Kos pembinaan bagi blok-blok bangunan di atas dianggarkan kira-kira RM 100,000 mengikut nilai wang pada masa itu. Pada peringkat awal, ia menggunakan dua bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sekolah yang dibina ini bertujuan untuk menampung pelajar-pelajar sekolah yang dikenali sebagai “Sekolah Lanjutan Kampung” dan juga menerima pelajar lepasan darjah 6 sekolah rendah dari kawasan Rengit, Senggarang dan Benut. Pada masa itu, sesi pengajaran dijalankan dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan petang yang mana telah menerima kemasukan pelajar pertama seramai 480 orang. Tenaga pengajar pada masa itu p**a seramai 21 orang diketuai oleh En. Mohd Noor bin Yunus sebagai pengetua dan dibantu oleh En. Ridzuan selaku guru penolong kanan dan Tn. Paiman bin Husin sebagai penyelia petang iaitu pada tahun 1965. Pada tahun 1965, bangunan B telah didirikan yang merangkumi 8 bilik darjah, sebuah bengkel elektrik, perpustakaan, 3 buah stor dan 2 buah tandas pelajar dengan keluasan 756 meter persegi sebanyak RM 151,200 telah dibelanjakan untuk pembinaan bangunan ini. Pada tahun 1968, nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan Rengit. Kemudian pada 22 Julai 1974, sekali lagi nama sekolah ini ditukar dengan nama barunya iaitu Sekolah Menengah Tan Sri Sardon, Rengit. Nama Tan Sri Sardon dipilih bagi mengabadikan dan mengenangkan jasa anak jati Sungai Kluang, Rengit yang terkenal sebagai tokoh politik pentadbiran dan pemerintahan negeri dan juga negara iaitu Tan Sri Sardon bin Jubir. Pengisytiharan secara rasmi nama barunya dibuat oleh En. Ahmad bin Salleh iaitu Pengarah Pentadbiran Johor dalam majlis ucapan dan penyampaian hadiah pada tahun tersebut. Namun begitu, nama ini hanya kekal selama 8 tahun sahaja. Pada tahun 1971, bangunan Blok C telah dibina bagi menampung pertambahan pelajar dengan keluasan 495 meter persegi. Sebuah surau telah dibina pada 1979 dengan keluasan 96 meter persegi yang mana kos perbelanjaannya sebanyak RM 9000. Pada tahun 1980, sebuah bangunan lagi telah dibina mengandungi 3 buah makmal sains tulen dan sebuah bilik perpustakaan yang baru. Pada 6 Februari 1982, Yang Berhormat Dato’ Musa Hitam yang ketika itu Timbalan Menteri Malaysia mengisytiharkan nama baru sekolah ini iaitu kepada Sekolah Menengah Tun Sardon dalam majlis perasmian bangunan baru sekolah ini. Pada tahun yang sama juga, 2 buah rumah guru lagi telah dibina dengan keluasan 576 meter persegi dengan perbelanjaannya sebanyak RM 71,000 bagi setiap bangunan. Pada tahun 1984, Blok D iaitu bangunan setingkat mengandungi 4 buah bilik darjah telah dibina di dalam satu projek iaitu “Projek Kilat”. Pada tahun 1989, Blok E iaitu sebuah bangunan baru setingkat yang mengandungi 4 buah bilik darjah telah dibina melalui “Projek Gotong-Royong” dengan keluasan 396 meter persegi. Pada tahun 1991, sebuah blok bangunan 4 tingkat mengandungi 10 buah bilik darjah dan 3 buah bilik makmal yang baru telah dibina bagi menampung pertambahan bilangan pelajar dengan keluasan 396 meter persegi. Melalui kajian soal selidik yang dijalankan, kos pembinaan bangunan-bangunan di sekolah ini didapati dan didirikan daripada kerajaan Malaysia dan derma daripada orang kenamaan serta orang ramai. Selain itu, ia juga turut menyediakan pelajaran berbentuk Vokasional Seni Perusahaan, Sains Rumah Tangga dan juga Sains Pertanian. Pada tahun 1967, peperiksaan SRP dan LCE buat kali pertamanya telah diambil oleh pelajar-pelajar sekolah ini. Ini diikuti p**a dengan peperiksaan SPM dan MCE pada tahun 1969. Pengajian tingkatan 6 telah dimulakan pada tahun 1988 di sekolah ini. Pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan STPM ini terdiri daripada pelajar-pelajar berkelulusan SPM yang terpilih daripada sekolah menengah yang berhampiran. Kini, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon mempunyai 18 buah blok bangunan termasuk bangunan koperasi yang baru dibina. Bangunan-bangunan ini telah berusia 40 tahun dari tahun 1965 hingga tahun 2005. Manakala jumlah guru sekolah ini telah meningkat kira-kira 80 orang dan kakitangan bukan guru p**a lebih kurang 15 orang. Pengetua yang sedang berkhidmat di sekolah ini sekarang ialah Tn.Hj.Sulaiman Bin Rosdi
Semenjak sekolah ini ditubuhkan banyak kejayaan-kejayaan yang dicapai sama ada dalam bidang akademik atau pun ko-kurikulum. Antara kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh sekolah ini adalah:
1. Johan PSS Cemerlang Peringkat Kebangsaan (Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar ) pada tahun 2000.
2. Anugerah Sekolah Harapan Negara (Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar ) Pada tahun 2001
3. Naib Johan PSS Cemerlang Peringkat Negeri Johor (Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar ) pada tahun 2005
4. Naib Johan Pertandingan Kawat Kaki GO Peringkat Negeri (Pasukan Kadet Bersatu Malaysia) pada tahun 2004
5. Naib Johan Pertandingan Kawat Kaki GO Peringkat Negeri (Pasukan Kadet Bersatu Malaysia) pada tahun 2006
Dalam bidang akademik telah ramai bekas pelajar SMKTS yang berjaya sama ada dalam kerjaya atau profesion yang mereka ceburi. Pada tahun 2006 sekolah ini telah mencipta sejarahnya yang tersendiri iaitu
Seorang pelajarnya iaitu NorAmira Bte Hj.Jamil telah menduduki peperiksaan SPM dengan mengambil 19 matapelajaran. Apa yang membanggakan adalah beliau telah mencapai keputusan yang cemerlang iaitu 14 A1 4A2 dan 1A3. Pada tahun yang sama beliau telah dilantik sebagai Duta kepada Gabungan Pelajar melayu Semenanjung (GPMS) atas kecemerlangan beliau. Sehingga kini sekolah ini akan terus melayarkan bahteranya dengan berazam untuk mancapai keterbilangannya yang tersendiri selaras dengan misi dan visinya.