17/09/2026
| UTHM Sertai Kembara Bersasar “Mai Hik Menara Gading” di Pos Yum, Sungai Siput
SUNGAI SIPUT, 16 September 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai Kembara Bersasar “Mai Hik Menara Gading” di Pos Yum, Sungai Siput, Perak, sebagai usaha mendekatkan akses dan maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat, khususnya komuniti Orang Asli.
Program anjuran Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini disertai UTHM dengan diketuai Prof. Ts. Dr. Elmy Johana binti Mohamad, Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK) UTHM, bersama Unit Promosi Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM.
Menerusi pameran universiti dan TVET, UTHM berkongsi maklumat berkaitan peluang pendidikan tinggi, laluan kemasukan serta bidang pengajian yang ditawarkan kepada komuniti setempat dan para pengunjung.
Turut berkunjung ke reruai UTHM ialah Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, diiringi Encik Mohd Najib bin Mohd Sarif, Pengarah BKPA, Jabatan Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pengarah UTHM.
Program ini turut menampilkan pameran universiti awam dan TVET, kursus pendek, sukan mini rakyat, demonstrasi kraftangan Orang Asli serta aktiviti bersama komuniti.
Dalam kesempatan yang sama, UTHM bersama beberapa universiti awam lain turut menyampaikan cenderahati kepada Tok Batin Pos Yum sebagai tanda penghargaan atas sambutan dan layanan mesra yang diberikan.
Keramahan dan keterbukaan komuniti Pos Yum memberikan pengalaman bermakna kepada warga UTHM, sekali gus mencerminkan nilai kesantunan, kebersamaan dan keterangkuman dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada seluruh lapisan masyarakat.
UTHM terus komited membawa pendidikan tinggi lebih dekat kepada masyarakat, membuka ruang peluang dan menyemai aspirasi untuk melangkah lebih jauh dalam pendidikan tinggi.
DenganHikmahKitaMeneroka