18/07/2026
UCAPAN PENGETUA SMK BUKIT CHANGGANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kejayaan yang telah diraih oleh kontinjen SMK Bukit Changgang.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jurulatih, pengurus dan atlet SMKBC atas kesungguhan, pengorbanan serta semangat juang yang luar biasa sehingga berjaya mengharumkan nama sekolah.
Ucapan ribuan terima kasih juga ditujukan kepada semua penaja yang sudi menghulurkan sumbangan, serta kepada YDP PIBG yang tidak pernah jemu memberi bantuan dan sokongan padu sepanjang perjalanan pasukan ini.
Penghargaan yang istimewa turut saya berikan kepada Alumni murid SMKBC yang kembali menyokong. Ada dalam kalangan mereka kini melanjutkan pengajian di universiti awam, khususnya dalam bidang Physiotherapy Sukan, dan membantu merawat atlet yang cedera, ada yang telah berjaya dalam kerjaya termasuk sebagai Manager Zus Cawangan Nilai, malah bermurah hati menyediakan minuman kopi secara percuma kepada jurulatih dan pengurus sepanjang temasya olahraga berlangsung. Sokongan ini membuktikan bahawa ikatan kekeluargaan SMKBC sentiasa utuh walau di mana jua berada.
Yang paling utama, jutaan terima kasih kepada barisan pentadbir, para guru, semua murid dan warga SMK Bukit Changgang yang tidak putus-putus mendoakan, menyokong dan memberi semangat kepada kontinjen kita. Kejayaan ini adalah hasil usaha dan doa kita bersama.
*Kasih Sayang Sahabat Selamanya.*
Haji Ahmad Fauzi bin Hashim
Pengetua
SMK Bukit Changgang