25/09/2025
“Sesiapa yang tidak kemas katil sendiri, dia tak dibenarkan bermain di padang permainan.”
“Sesiapa yang tak siap kerja rumah, dia tak boleh bermain bola sepak dengan kawan.”
“Jika kamu tak kemas, ibu buang semua mainan ini.”
“Jika kamu tak berhenti menangis, ibu tinggalkan kamu di sini.”
“Sesiapa yang tak siap mewarna gambar ini, dia tak dapat cop bintang dari cikgu.”
“Sesiapa yang nakal, cikgu cubit dia.”
Ini antara contoh ugutan dan ancaman yang digunakan bagi memaksa kanak-kanak supaya mengikut arahan.
Ugutan dan ancaman menimbulkan rasa takut dan gerun sehingga membuatkan kanak-kanak ikut arahan yang disuruh.
Yalah, kalau tak buat, mereka takut tak dapat apa yang mereka mahukan.
Takut kena denda.
Takut kena hukum.
Jadi, mereka terpaksa buat.
Walaupun mereka cepat ikut arahan dengan ugutan dan ancaman, ada risiko jangka masa pendek dan panjang terhadap perkembangan kanak-kanak.
Mereka belajar ikut peraturan dan arahan kerana rasa takut.
Mereka tidak dapat memahami nilai disebalik peraturan dan arahan itu.
Bagaimana cara yang lebih positif bagi mendorong kanak-kanak mengikut arahan?
Gunakan ganjaran sosial apabila hendak mendorong kanak-kanak melakukan sesuatu tugasan.
Contoh:
“Sesiapa yang katilnya kemas dan rapi, dia dibenarkan bermain di padang permainan.”
“Sesiapa yang sudah siap kerja rumah, dia boleh bermain bola dengan kawan.”
“Cepat kemas alat mainan kamu, lagi cepat kamu kemas, lagi cepat kitab boleh tengok cerita Ejen 003 sama-sama.”
“Sudah, berhenti menangis, mari ibu peluk kamu.”
“Sesiapa yang mewarna gambar ini sampai siap, cikgu beri cop bintang.”
“Sesiapa yang berbuat baik kepada orang lain, dia akan disayangi dan dapat ramai kawan.”
Ganjaran sosial adalah ganjaran daripada luar yang memberi motivasi kepada kanak-kanak.
Apabila mereka menerima ganjaran ini, mereka rasa seronok, gembira dan puas hati.
Antara contoh lain bagi ganjaran sosial ialah:
• Pujian, pengiktirafan, penghargaan
• Tepukan, sambutan
• Markah, gred
• Gelaran baik, panggilan mulia
• Kasih sayang, cinta, kemesraan
• Layanan baik, dihormati, diiktiraf, dimuliakan
• Senyuman, jabat tangan, pelukan
• Persahabatan
• Jemputan, undangan
• Peluang diajak duduk bersama, makan bersama
• Ditarikkan kerusi, dibukakan pintu kereta
• Peluang berselfie
• Peluang naik pentas
• Peluang bercakap di hadapan
Mari sama-sama aplikasikan teknik mendorong kanak-kanak menggunakan ganjaran sosial supaya mereka selalu ‘feel good’.
Mudah kita membina kepercayaan dan hubungan baik dengan mereka.
Mudah mereka mendengar arahan kita.
Penulis: Puan Haslinda Ali