10/01/2026
Kenyataan Media MAIS
10 Januari 2026
MAIS TEGAS MENOLAK SEBARANG CUBAAN NORMALISASI BUDAYA LGBT
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memandang serius laporan media berkaitan penganjuran program yang melibatkan komuniti le***an, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan usaha mempromosikan gaya hidup yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Sebagai badan bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di negeri Selangor, MAIS menentang keras sebarang bentuk aktiviti mana-mana pihak yang bertujuan mempromosi, menyokong, dan menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBT. MAIS juga mengingatkan orang Islam agar tidak menyertai, mempromosi, menyokong atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikaitkan dengan normalisasi gaya hidup songsang dan LGBT. Ini kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah ia turut bercanggah dengan undang-undang, nilai budaya timur dan norma masyarakat di Malaysia.
MAIS menyeru masyarakat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda normalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak masyarakat Islam. Dalam masa yang sama, MAIS menasihatkan mereka yang telah terjebak dengan gaya hidup songsang ini untuk kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh MAIS, pihak berkuasa agama lain atau pihak NGO yang menawarkan pemulihan yang berkaitan.
MAIS menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi Kerajaan untuk memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang dan LGBT ini yang merosakkan masyarakat ini dapat disekat dan dicegah. MAIS juga akan bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi Kerajaan lain untuk memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai suatu usaha untuk memastikan budaya songsang ini tidak lagi diamalkan di Negeri in.
Terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA HAJI SALEHUDDIN BIN SAIDIN
PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR