05/09/2025
SIAPAKAH MAKHLUK ALLAH YANG BERIMAN PALING MENGAGUMKAN?
Rasulullah SAW sendiri begitu kagum dengan sikap dan peribadi kental sahabat-sahabatnya.
Demikian jugalah dengan tabiin dan golongan yang kemudiannya. Mereka masih dikira dalam lingkungan yang rapat dengan Rasulullah SAW.
Bagaimana p**a dengan diri kita yang sangat jauh masanya dengan zaman Rasulullah SAW serta tidak pernah menatap wajah mulia Baginda SAW itu?
Kepatuhan kepada ajaran yang dibawa Baginda SAW sedikit pun tidak luntur. Setiap larangan kita hindari dan setiap nasihat serta pesanannya akan kita penuhi untuk dijadikan budaya hidup.
Rasulullah SAW sebenar-nya amat merindui umatnya pada akhir zaman. Baginda SAW ketika hidupnya pernah melafazkan luahan hatinya yang amat rindu untuk melihat diri kita semua.
Kerinduan Baginda itu dinyatakan di hadapan sahabatnya, Abdullah bin Abbas. Beliau menceritakan, pada satu hari selepas solat Subuh berjemaah, Rasulullah SAW duduk sambil menghadap sahabatnya.
Kemudian Baginda bertanya: “Wahai seluruh manusia, siapakah makhluk Allah yang beriman paling mengagumkan?”
Sahabat menjawab: “Sudah tentu malaikat, wahai Rasulullah.” Dengan cepat Rasulullah SAW membalas balik jawapan itu dengan menegaskan: “Bagaimana mungkin malaikat tidak beriman? Sedangkan me-reka adalah pelaksana perintah Allah?”
Seketika kemudian, muncul jawapan lain daripada sahabatnya: “Jika demikian, maka sudah pasti makhluk Allah yang beriman paling mengagumkan itu adalah para nabi, wahai Rasulullah.”
Sekali lagi Rasulullah SAW bersabda: “Bagaimana mungkin para nabi tidak beriman sedangkan wahyu dari langit turun kepada mereka?”
Sahabat Baginda masih tidak berputus asa untuk memberikan jawapan dan kali ini ada yang menjawab: “Kalau begitu, makhluk Allah yang beriman paling mengagumkan adalah sahabat tuan, wahai Rasulullah.”
Rasulullah SAW sekali lagi bersabda yang sama seperti sebelumnya: “Bagaimana mungkin sahabat-sahabatku tidak beriman sedangkan mereka menyaksikan apa yang mereka saksikan mengenai diriku.
“Mereka bertemu terus denganku, melihatku, mendengar kata-kataku dan juga menyaksikan dengan mata kasar tanda-tanda kenabian dan kerasulan-ku.”
Sebaik bersabda sedemikian, Baginda terdiam sejenak, kemudian dengan perlahan tetapi bernada tegas Baginda memberi-tahu sahabatnya: “Demi Allah, yang paling mengagumkan imannya adalah kaum yang datang sesudah kamu.
“Mereka itu beriman kepadaku, padahal mereka semua tidak pernah bertemu denganku. Mereka membenarkan diriku tanpa pernah menyaksikan diriku.
“Mereka menemui tulisan dan beriman kepadaku. Mereka mengamalkan apa-apa yang ada dalam tulisan itu. Mereka membelaku seperti kamu membelaku.
“Demi Allah, aku sangat ingin berjumpa dengan para kekasihku itu.”
Kemudian, Baginda SAW membaca Surah al-Baqarah ayat 3: “Mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepada mereka.”
Selesai membaca ayat itu, Rasulullah SAW melafazkan: “Berbahagialah orang yang pernah melihatku dan beriman kepa-daku.”
Sambung Baginda lagi dan kali ini dengan nada penuh kerinduan Baginda bersabda: “Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku.”
Baginda SAW mengula-ngi lafaz itu sebanyak tujuh kali lagi: “Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Kisah ini bukanlah gambaran Baginda SAW kurang senang atau tidak kasih terhadap sahabatnya. Ba-ginda sampai marah dan murka kepada sesiapa yang mencela dan merobek imej peribadi sahabatnya.
Tegas Baginda: “Jangan mencela para sahabatku. Jangan mencela para sahabatku. Demi Zat yang jiwa-ku berada di tangan-Nya.
“Andai salah seorang daripada kamu berinfak emas sebesar Gunung Uhud, nescaya tidak akan menyamai infak salah seorang daripada mereka (para sahabat) yang hanya sebesar dua telapak tangan atau setengahnya.”(Hadis riwayat Imam Bukhari)
Kisah Rasulullah SAW sewaktu bersama sahabat-nya itu menggambarkan betapa Rasulullah SAW amat mengagumi umatnya yang terkemudian yang tidak pernah sekalipun menatap wajahnya.
Mereka tidak berpeluang bersemuka, mengadu dan mengajukan persoalan mengenai hal ehwal agama atas isu kehidupan seharian, tetapi masih menjunjung tinggi setiap ajaran dibawa Baginda.
Lihatlah suasana apabila timbulnya sesuatu isu membabitkan perbuatan penghinaan terhadap Baginda dan Islam. Seluruh umat Islam akan bangkit menunjukkan kemarahan dan membelanya.
Kita yang hidup pada akhir zaman ini tidak pernah sesekali membiarkan sebarang bentuk penghinaan terhadap imej dan peribadi Baginda.
Kasih dan cinta terhadap Baginda SAW dan ajaran Islam yang dibawanya ti-dak pernah luntur.
Kredit: https://www.hmetro.com.my/addin/2018/05/335938/kelebihan-umat-akhir-zaman