13/08/2026
Kunjungan Wakil British High Commission ke CRIM UKM.
Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan wakil British High Commission, iaitu Ms Nadya Kelly, SEA Regional Director of Science &Technology, British High Commission Singapore; Ms Poorani Krishnan, British High Commission Kuala Lumpur; serta Cik Nor Amira, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Sesi ini diadakan bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan kemajuan projek, membincangkan cabaran yang dihadapi serta memahami impak penyelidikan yang telah dicapai melalui pembiayaan International Science Partnerships Fund (ISPF) bagi projek di bawah geran UKRI-MOHE Collaboration on Infectious Diseases.
UKRI-MOHE Collaboration on Infectious Diseases merupakan inisiatif penyelidikan bersama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UK Research and Innovation (UKRI), yang disokong melalui mekanisme dana padanan bersama Medical Research Council (MRC) di bawah ISPF. Kerjasama ini bertujuan menyokong penyelidikan berkualiti tinggi dalam menangani cabaran utama penyakit berjangkit melalui jaringan kerjasama antara penyelidik Malaysia dan United Kingdom.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama penyelidikan antarabangsa serta memperluas impak penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit.