15/02/2026
PRISMatik FST Perkasa Komuniti Batu Laut melalui Program TOT Kem Seronoknya Matematik!!!
Program Training of Trainers (TOT) Kem Seronoknya Matematik!!! untuk Komuniti Batu Laut telah berjaya dilaksanakan pada 14 hingga 15 Februari 2026 bertempat di Sekolah Kebangsaan Batu Laut, Banting, Selangor. Program ini dianjurkan oleh Kumpulan Pendidikan Ruhiyy Ilmu Sains Matematik (PRISMatik), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai kesinambungan kepada Kem Kembara Ilmu Sains Matematik yang melibatkan 1,200 orang pelajar pada 17-20 November 2025 tajaan sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia melalui inisiatif UniMADANI.
Program ini bertujuan melatih alumni dan komuniti Kampung Batu Laut sebagai fasilitator tempatan bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan aktiviti Matematik interaktif secara kendiri dan lestari di peringkat komuniti dan sekolah. Seramai 30 orang peserta telah mengikuti latihan intensif yang dikendalikan oleh 10 orang fasilitator PRISMatik UKM.
Program ini turut diserikan dengan Majlis Makan Malam Kebudayaan pada 14 Februari 2026, yang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Borhan bin Aman Shah, Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat. Turut hadir ialah Prof. Ts. ChM. Dr. Rizafizah Othaman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM), Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Dr. Anuar Mohd Ishak, Pengerusi Jabatan Sains Matematik, wakil industri, pimpinan komuniti serta masyarakat Kampung Batu Laut.
Majlis makan malam ini ditaja sepenuhnya oleh YB Datuk Borhan bin Aman Shah, dengan sokongan rakan strategik termasuk Team Selangor, Duopharma Biotech Berhad, MBI Selangor dan BERNAS. Selain majlis rasmi, program ini turut melibatkan aktiviti kemasyarakatan seperti rewang menyediakan bubur kacang, aktiviti pembersihan kawasan perkuburan Batu Laut, serta sesi ramah mesra bersama masyarakat Kampung Batu Laut, yang mencerminkan semangat kebersamaan dan penglibatan aktif universiti dalam kehidupan komuniti setempat.