30/05/2019
MENGGIRING POTENSI UNGGUL
Sebagai ibubapa, kita mengharapkan kejayaan anak-anak di dunia dan akhirat. Antara langkah awal yang biasa dilakukan ialah dengan menanamkan cita-cita anak-anak sedari kecil.
Dengan mengenal potensi berdasarkan perilaku dan kecenderungan anak-anak merupakan kaedah bagi menggiring anak-anak menuju cita-cita mereka.
Ketahuilah bahawa anak-anak ibarat benih pokok, tumbuh besarnya akan menampakkan ciri-cirinya yang boleh dikenalpasti. Benih pokok kelapa akan tumbuh sebagai pohon kelapa dan ia tidak akan menjadi pohon yang lain.
Samada subur dan memekar atau layu mati menjadi baja dan tanah, ia tetap memberi manfaat sesuai sebagaimana kita memperlakukannya.
KEUSAHAWANAN
Sebagai seorang usahawan, saya ingin berkongsikan tentang bagaimana pohon usahawan ini tumbuh.
Perkara utama mendorong suburnya benih ini ialah dari faktor persekitaran yang menggalakkan secara langsung atau tidak langsung, tidak kiralah yang berlaku itu baik atau tidak, tetapi lebih pentingnya ialah bagaimana cara-cara dan pola fikir anak-anak menghadapi dan menangani situasi sesuai dengan ilmu, pengalaman dan kematangan mereka.
MINAT BERNIAGA TUMBUH DARI KEINGINAN MEMBELI
Pada usia saya 8 tahun, iaitu sekitar tahun 1988, keinginan nampak cantik dan bergaya melebihi dari keperluan namun KEMAHUAN ini mendorong untuk saya bertindak. Saya inginkan sebuah dompet walhal tak mempunyai duit untuk diisi ke dalamnya.
Pada waktu itu, wang saku sekolah adalah cukup untuk perbelanjaan membeli makanan dan minuman tetapi saya tidak akan memperoleh lebih dari itu kecuali hari raya atau ada saudara mara berkunjung dan menghulurkan wang. Pilihan yang ada ialah dengan berjimat. Dengan 40 sen, saya dapat membeli sepinggan nasi lemak berharga 20 sen, air 10 sen dan kacang kuda 10 sen dan perbelanjaan ini boleh dikurangkan (ada jalan keluar)
Oleh kerana saya tahu yang saya tidak akan menerima lebih, saya menyimpan sedikit di dalam tabung. Tambahan p**a galakan dari ibubapa yang membelikan "tabung ayam" (generasi 80an tahu tabung ini) untuk menyimpan. Semakin berat tabung, semakin saya rasa gembira (ini faktor mendapat "reward" dari usaha), apatah lagi membandingkan tabung kakak saya lebih berat dan banyak isinya (faktor persaingan).
Akhirnya dapatlah saya membeli dompet Fido Dido berwarna biru. Kalau jenama ini masih ada, memang "legend".
AKTIVITI PERSEKITARAN
Di sekolah, permainan utama kami ialah tuju guli. Saya gemar tetapi tidak pakar. Ada dua rakan yang sangat pakar dan bersaing hebat. Namanya Shahrizan dan Ismail. Mereka ada jumlah guli yang banyak, penuh 1 tin Milo besar. Jika terbaca coretan ini, semoga kita dapat bertemu kembali.
Kedua-dua mereka ini dapat tuju guli dengan tepat walaupun dari jarak jauh. Inilah BAKAT. Saya percaya, jika dilatih, mereka boleh menjadi penembak/pemanah tepat.
Saya menawarkan untuk membeli guli-guli mereka dan mereka menjual kepada saya dan harganya sedikit murah dari harga guli yang baru. Jadi dapatlah saya terus gembira bermain. Baru atau telah terpakai tidak menjejaskan kegembiraan saya. Terlebih penting, hasrat saya tercapai.
Bukan itu sahaja, saya merasa gembira membantu kawan-kawan, rasa dapat memberi dan bersedekah seperti kisah-kisah tauladan yang saya baca dari buku cerita dan majalah, juga seperti yang ditunjukkan dan dicontohi dari arwah ayah. Masih segar diingatan, di Stesen Bas Bagan Serai, ada orang meminta sedekah dari ayah dan ayah meminjam wang dari rakannya untuk memberi, kerana pada ketika itu wang hanya cukup-cukup tambang. Ia kisah biasa pada sesetengah orang tetapi terkesan untuk seorang anak yang memerhati.
MINAT MEMBACA
Minat membaca saya diusia kecil mengatasi minat-minat yang lain.
Antara buku yang menjadi pilihan ialah buku Kisah 25 Rasul setebal 2 inci yang habis saya baca pada usia 8 tahun, selain Majalah Al-Ain, Bambino dan lain-lain. Saya akan kupaskan nanti tentang bagaimana bahan bacaan juga mempengaruhi suburnya benih usahawan.
Antara yang paling digemari ialah komik kepahlawanan. Komik ini dijual secara pakej. Beli keropok, dapat komik. Oleh kerana saya tidak gemar keropoknya, saya selalu menawarkan untuk membeli komik sahaja dari kawan-kawan yang telah membeli dan membacanya.
Saya masih ingat, ada kawan mengadu kepada guru yang saya membeli komik dan merasa takut kerana memikirkan adalah kesalahan membawa dan berjual beli komik di sekolah. Guru tersebut hanya meminta dari saya dan melihatnya lalu mengembalikannya semula. Mulianya hatimu guru, memahami jiwa kanak-kanak.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada arwah ayahanda, ibunda dan abang-abang dan kakak-kakak yang selalu membelikan majalah Al-Ain. Juga kepada Cikgu Husin yang merupakan guru sekolah kerana membekalkan bahan bacaan berkualiti. Beliau juga usahawan pengeluar kicap yang saya kagumi.
Inilah kisah awal bagaimana saya belajar membeli. InshaAllah dalam penulisan berikutnya ialah kaitan MEMBELI MELAHIRKAN MINAT MENJUAL.
Saya juga akan menyentuh topik, BACAAN DAN HIBURAN MENCETUSKAN MINAT BERNIAGA. Sementara menunggu pos berikutnya, mari kita perhatikan secara dalam, benih apakah anak-anak kita itu.
Nidzam Samsuri
Khamis, 30 Mei 2019
InTrack-Membangun Potensi Sesuai Fitrah