30/04/2026
PERKHIDMATAN PEMERIKSAAN KESIHATAN SEMPENA BULAN KESIHATAN UKMSHAPE 2025–2026
Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan anjuran UKMShape, Universiti Kebangsaan Malaysia telah berjaya dilaksanakan pada 30 April 2026 (Khamis) dengan penyertaan yang memberangsangkan dalam kalangan warga UKMShape. Program ini dimulakan dengan sesi ceramah kesihatan, diikuti dengan sesi saringan dan pemeriksaan kesihatan di Ballroom, UKMShape.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan gaya hidup sihat serta menggalakkan pengesanan awal dalam usaha mencegah penyakit. Penganjuran program ini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kesihatan, malah turut memupuk budaya keprihatinan terhadap kesejahteraan diri dalam kalangan warga kerja UKMShape.
Usaha sebegini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyokong pembentukan komuniti kerja yang lebih sihat, cergas dan produktif.
29/04/2026
JOM MOHON KE UKM SEKARANG!
Permohonan bagi Program UKMi (Sesi Akademik 2026/2027) melalui UKMSHAPE kini telah dibuka untuk semua program Sarjana Muda sepenuh masa kemasukan terus! (direct intake)
Permohonan dibuka bermula 20 April - 31 Ogos 2026.
Khusus bagi anda yang berminat dengan program Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), sila ambil maklum tarikh penting berikut:
Tarikh Permohonan Dibuka: 4 Mei 2026
Tarikh Permohonan Ditutup: 31 Ogos 2026
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai UKM!
Mohon sekarang : https://join.ukm.my/
Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi:-
Megat : 017-3040235
Iskandar : 012-5423363
--------------------------------------------------------------------------
ATTENTION ALL INTERNATIONAL CANDIDATES!
Applications for the UKMi Program (2026/2027 Academic Session) are Now Open!
Great news for aspiring students! Applications for the full time Bachelor Degree Program via UKMSHAPE are now open for all programs.
Applications are open from 20th April - 3rd July 2026.
For those specifically interested in programs under the Faculty of Economics & Management (FEP), please take note of these critical dates:
Application Opening Date: May 4, 2026
Application Closing Date: July 3, 2026
Don’t miss out! This is your chance to join one of Malaysia’s premier institutions and build a world-class future with UKM.
Apply Now: https://join.ukm.my/
For more information, contact our team: -
Fahani : 013-6077434
Romaini : 011-28669076
Farhana : 013-2707983
29/04/2026
Bangi, 29 April 2026 – Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional (UKMSHAPE) telah menganjurkan program Taklimat dan Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi ejen pengambilan pelajar sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh strategi pemasaran dan kemasukan pelajar. Program ini bertujuan memberikan penerangan menyeluruh kepada ejen pengambilan pelajar berhubung proses pengambilan pelajar, termasuk peranan dan tanggungjawab mereka serta garis panduan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh pelantikan. Pendekatan ini dilihat penting bagi memastikan setiap ejen pengambilan pelajar yang dilantik mampu melaksanakan fungsi dengan lebih sistematik, berintegriti dan selaras dengan aspirasi universiti.
Selain itu, sesi ini turut berperanan sebagai platform interaksi dua hala yang efektif dalam memperkukuh kerjasama strategik antara pihak universiti dan ejen pengambilan pelajar. Melalui perkongsian maklumat dan penyelarasan operasi yang lebih teratur, kedua-dua pihak dapat memastikan kelancaran proses kemasukan pelajar, sekali gus meningkatkan keberkesanan usaha promosi dan penawaran program akademik UKMShape kepada sasaran yang lebih luas.
Seiring dengan pelaksanaan inisiatif ini, UKMShape optimis bahawa hubungan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh, seterusnya menyumbang kepada pencapaian sasaran pengambilan pelajar yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
28/04/2026
Selamat Hari Lahir Dr. Ng Lay Shi
Kami warga UKMShape ingin merakamkan ucapan selamat hari lahir kepada Dr. Ng Lay Shi, Timbalan Pengarah IV (Pengurusan, Pentadbiran dan Jaminan Kualiti), UKMShape.
Semoga Dr. sentiasa dilimpahi kesihatan yang berpanjangan, dikurniakan kesejahteraan serta terus mencapai kejayaan yang cemerlang dalam setiap amanah dan tanggungjawab yang dipikul.
Didoakan agar Dr. terus unggul dalam kepimpinan, beriltizam tinggi serta berupaya memacu kecemerlangan UKMShape ke arah pencapaian yang lebih gemilang dan berdaya saing.
Selamat Hari Lahir. Semoga terus maju jaya dan sentiasa diberkati.
Ikhlas daripada:
Pengarah, Pengurusan Tertinggi & Seluruh Warga UKMShape
24/04/2026
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mencatat kejayaan membanggakan apabila menduduki tangga ke-87 terbaik di Asia berdasarkan penarafan terkini Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2026 yang diumumkan pada 23 April 2026, sekali gus meletakkan UKM dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia.
Pencapaian ini merupakan kedudukan tertinggi yang pernah diraih oleh UKM sejak tahun 2016, sekali gus menzahirkan perkembangan signifikan dalam tempoh sedekad yang lalu. Kejayaan ini adalah hasil pelaksanaan transformasi strategik yang berterusan, berteraskan kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi serta pengukuhan jaringan kerjasama global.
Penarafan ini dibuat berdasarkan 18 indikator prestasi utama yang meliputi aspek pengajaran, penyelidikan, hubungan industri dan pengantarabangsaan. Pengiktirafan yang diterima oleh UKM mencerminkan penilaian menyeluruh merangkumi kualiti pengajaran dan persekitaran pembelajaran, kekuatan serta reputasi penyelidikan, impak dan pengaruh penyelidikan, keupayaan inovasi serta pemindahan ilmu kepada industri, di samping tahap keterlihatan dan jaringan antarabangsa.
Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen dan usaha bersepadu seluruh warga UKM dalam memperkasa ilmu, memperkukuh daya saing serta mengangkat martabat universiti dan negara di peringkat global.
Seiring pencapaian ini, UKM kini melaksanakan TEKAD 57 sebagai kerangka strategik baharu universiti bagi tempoh 2026 hingga 2030. Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kecemerlangan institusi, di samping memperkasa peranan UKM sebagai peneraju ilmu, inovasi dan pembangunan negara menjelang aspirasi Malaysia 2057.
Berlandaskan prinsip Iman, Ilmu dan Amal, UKM akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dalam memperkukuh kedudukannya sebagai antara universiti terkemuka di Asia, seterusnya mengorak langkah lebih jauh di persada antarabangsa.
24/04/2026
HARI INFORMASI ASASIPINTAR UKM 2026
Universiti Kebangsaan Malaysia melalui UKMShape dengan sukacitanya menjemput para pelajar, ibu bapa serta orang awam untuk menghadiri Hari Informasi ASASIpintar UKM 2026.
Program ini merupakan platform terbaik untuk mendapatkan maklumat secara terus mengenai program ASASIpintar UKM, termasuk syarat kemasukan, struktur pengajian, kelebihan program serta laluan akademik ke peringkat seterusnya. Para pengunjung juga berpeluang untuk berinteraksi secara langsung bersama pegawai bertugas serta mendapatkan panduan lengkap berkaitan permohonan kemasukan.
📅 Tarikh: 9 Mei 2026 (Sabtu)
🕘 Masa: 9.00 pagi – 4.00 petang
📍 Tempat: Ballroom, UKMShape
Ambilan terus bagi program ini adalah untuk Julai 2026. Justeru, kehadiran anda amat digalakkan bagi memastikan anda tidak terlepas peluang melanjutkan pengajian dalam program yang berprestij ini.
Jangan lepaskan peluang untuk merancang masa depan akademik anda bersama UKM. Hadir dan dapatkan maklumat yang tepat, sahih serta menyeluruh hanya di Hari Informasi ASASIpintar UKM 2026.
24/04/2026
Salam Jumaat Yang Barakah,
Semoga kita semua akan sentiasa bersemangat menghadapi hari-hari yang mendatang dengan tenang.
23/04/2026
TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA: MINGGU PERMOHONAN ASASI PINTAR UKMSHAPE 2026
Alhamdulillah, Minggu Permohonan Asasi Pintar yang berlangsung dari 15 hingga 23 April 2026 di Lobi UKMShape telah berakhir dengan penuh kemeriahan dan sambutan yang amat menggalakkan.
Sepanjang minggu ini, ruang UKMShape dipenuhi dengan kehadiran calon pelajar serta ibu bapa yang hadir dengan penuh semangat untuk mendapatkan maklumat dan pendedahan mengenai program Asasi Pintar. Suasana yang terhasil bukan sahaja meriah, malah mencerminkan harapan dan kesungguhan dalam merancang masa depan pendidikan yang lebih cemerlang.
Dengan penuh rasa rendah hati, pihak UKMShape ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa untuk hadir. Kehadiran anda amat bermakna buat kami, dan menjadi sumber inspirasi untuk terus memperkukuh usaha dalam memberikan perkhidmatan serta peluang pendidikan yang terbaik.
Semoga segala perkongsian dan informasi yang disampaikan sepanjang program ini dapat membantu dalam membuat keputusan yang tepat untuk langkah seterusnya dalam perjalanan akademik.
Terima kasih sekali lagi atas kepercayaan dan sokongan anda.
23/04/2026
HARI BUKU SEDUNIA 2026 DAN PESTA BUKU UKM 2026
Hari Buku Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun bukan sekadar satu perayaan, tetapi satu gerakan yang menghidupkan semula kecintaan terhadap ilmu, pemikiran dan inspirasi. Berteraskan tema tahun 2026, “Membaca Merentas Dunia, Menghubungkan Jiwa”, buku diangkat sebagai jambatan yang menghubungkan manusia merentasi sempadan geografi, bahasa dan budaya. Dalam dunia yang semakin pantas dan digital, membaca menjadi ruang untuk kita berhenti sejenak, menyelami makna, serta membina pemikiran yang lebih matang, kritis dan berwawasan.
Mengambil semangat sambutan ini, Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Penerbit UKM membawakan satu pengalaman yang tidak harus dilepaskan melalui penganjuran Pesta Buku UKM 2026 buat julung-julung kalinya. Berlangsung dari 21 hingga 24 April 2026, jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam, pesta ini tampil dengan tema “Ilmu Dirai, Minda Berkembang” sebagai manifestasi kepada usaha memperkasa budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapatkan pelbagai bahan bacaan menarik, malah dapat merasai sendiri suasana ilmu yang hidup melalui pameran buku, jualan istimewa, sesi perkongsian bersama tokoh, serta pelbagai aktiviti interaktif yang menginspirasikan. Inilah ruang untuk anda mendekati dunia buku dengan cara yang lebih bermakna bukan sekadar membaca, tetapi mengalami sendiri perjalanan ilmu tersebut.
Ayuh, semarakkan Hari Buku Sedunia dengan langkah yang lebih bermakna. Hadir ke Pesta Buku UKM 2026 dan jadikan setiap halaman yang dibuka sebagai titik mula kepada dunia baharu yang menanti untuk diterokai.
Maklumat lanjut, sila layari pautan di - https://www.ukm.my/pestabuku/
22/04/2026
LAWATAN AKADEMIK SEKOLAH ISLAM TERPADU AL MADINAH, INDONESIA KE UKMSHAPE
Bangi, 22 April 2026 – UKMShape sekali lagi mencipta ruang perkongsian ilmu dan jalinan antarabangsa menerusi penganjuran lawatan akademik daripada delegasi Sekolah Islam Terpadu Al Madinah, Indonesia yang berlangsung di Ballroom, UKMShape.
Lawatan yang diadakan dari jam 10.00 hingga 11.30 pagi ini melibatkan seramai 56 orang delegasi yang terdiri daripada seorang Ketua Lawatan, seorang Pengetua, dua orang guru serta 52 orang pelajar. Kehadiran delegasi ini turut diiringi oleh wakil daripada Smart Education (Mr. Ivan) sebagai penghubung utama program.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peluang pengajian di peringkat prasiswazah (UG), khususnya dalam bidang Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Pengurusan. Inisiatif ini selari dengan usaha UKMShape dalam memperluaskan jaringan antarabangsa serta menarik minat pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.
Sepanjang sesi berlangsung, para delegasi telah mengikuti taklimat khas yang disampaikan oleh Encik Romaini, yang memberikan penerangan menyeluruh mengenai program akademik, kemudahan pembelajaran serta kelebihan menyambung pengajian di UKM. Sesi ini turut membuka ruang interaksi dua hala apabila para pelajar dan guru berpeluang mengemukakan soalan serta mendapatkan penjelasan lanjut.
Sebagai simbol kenangan dan penghargaan, majlis turut diserikan dengan sesi bergambar antara pihak UKMShape dan delegasi Sekolah Islam Terpadu Al Madinah. Selain itu, acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata daripada UKMShape kepada wakil delegasi sebagai tanda penghargaan atas kunjungan yang bermakna ini.
Diharapkan lawatan ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut akademik, malah menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua institusi pada masa hadapan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan pendidikan di peringkat global.