05/01/2023
MUKJIZAT AL-QURAN
1. Al-Quran sebuah kitab agung yang kandungannya relevan sepanjang zaman sejak ia diturunkan lebih 1400 tahun yang dahulu.
2. Sampai kini, tiada manusia yang mampu menandingi keagungan dan kehebatan kandungan al-Quran. Bahkan Allah berulang kali mencabar untuk mendatangkan satu surah sahaja yang boleh menyamai ‘level’ al-Quran.
3. Itulah mukjizat agung yang dianugerahkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad sebagai bukti kebenaran risalah yang dibawa Baginda.
4. Rasul rasul sebelum Nabi Muhammad ﷺ dikurniakan mukjizat yang dapat dilihat oleh pancaindera, namun kemukjizatan al-Quran perlu dilihat dengan mata hati dan dinilai oleh akal.
5. Buya Hamka di dalam Tafsir al-Azhar menyatakan bahawa al-Quran itu ada 4 jenis mukjizat merangkumi ketinggian bahasa dan pengkhabarannya.
6. Yang Pertama – Bahasa al-Quran yang lebih tinggi darjat kata dan maknanya daripada syair mampu mempersonakan sekalian pendengarnya. Demi menjatuhkan kredibiliti al-Quran, sasterawan Zaman Jahiliah menuduhnya sebagai sihir kerana mereka tidak dapat menyangkal keindahan bahasa al-Quran.
7. Yang Kedua – Al-Quran mampu menceritakan kisah benar umat terdahulu seperti kaum `Ad, tsamud dan Kisah Maryam. Sedangkan orang yang membawa cerita ini merupakan seorang yang ‘ummi’ (tidak tahu membaca dan menulis), malah tidak pernah belajar dengan seorang guru. Jadi amat mustahil untuk Baginda mereka-reka cerita itu.
8. Yang Ketiga – Al-Quran boleh memastikan hal yang akan terjadi. Contohnya, janji kemenangan menghadapi Quraisy di Peperangan Badar dan demikian juga janji bahawa Nabi dan sahabatnya akan dapat melakukan umrah dengan aman selepas Perjanjian Hudaibiyah. Semua perkara ini sudah dijanjikan akan berlaku oleh al-Quran sebelum ianya terjadi.
9. Yang Keempat – Al-Quran mengajarkan keilmuan sains yang belum ditemukan oleh manusia melalui kajian saintifik ketika penurunan al-Quran. Kejadian langit, bumi, bintang, manusia, binatang, tumbuhan dan sekalian makhluk telah diberitahu oleh al-Quran. Dengan bantuan teknologi kini, barulah manusia dapat memahami apa diceritakan oleh al-Quran secara saintifiknya.
10. Oleh kerana itulah, umat Islam perlu sentiasa membaca serta memahami isi kandungan al-Quran kerana setiap pembacaan pasti kita akan bertemu dengan sesuatu yang baharu (kita tidak tau selama ini).