14/08/2024
Pada hari Isnin lepas, saya telah mengadakan sidang media bersama rakan-rakan NGO dalam Gabungan Nasionalis (GN) bagi membantah cadangan SUHAKAM untuk meraktifikasi konvensyen antarabangsa mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum (ICERD).
Kita kecewa terhadap cadangan Pengerusi SUHAKAM yang baharu, Hishamudin Yunus telah menyatakan bahawa beliau mengharap Kerajaan Malaysia meratifikasikan ICERD.
Adakah SUHAKAM sudah menjadi boneka pihak tertentu bagi memusnahkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini?
SUHAKAM perlu ingat 6 tahun lepas rakyat Malaysia telah berhimpun beramai-ramai di Kuala Lumpur menolak ICERD. Apakah SUHAKAM ini menutup telinga dan mata mereka terhadap suara rakyat?
Saya nak ingatkan kembali kenapa kita menentang ICERD.
ICERD jelas BERCANGGAH dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Ini akan menghakis kedudukan istimewa bumiputera dan meruntuhkan struktur sosial dan ekonomi yang telah sekian lama terbina.
Secara tidak langsung ianya juga akan mengancam perkara-perkara seperti MARA, UiTM, Tanah Rezab Melayu, Diskaun Perumahan untuk Bumiputera, Askar Regimen Melayu dan Biasiswa untuk Bumiputera.
Gesaan SUHAKAM untuk meratifikasikan ICERD adalah bercanggah dengan prinsip Perkara 153 dan dilihat sebagai satu cabaran terhadap kedudukan istimewa orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan.
Apa yang lebih merisaukan lagi adalah ICERD ini membenarkan kebebasan beragama. Merujuk ICERD Artikel 5(vii) “The right to freedom of thought, conscience and religion;”.
Adakah SUHAKAM mahu menjadikan negara ini sebuah negara yang rakyatnya bebas menukar agama termasuk murtad? Ini jelas bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam sebagai Agama Persekutuan.
Bahkan tuntutan ICERD ini juga bercanggah dengan Akta SUHAKAM 1999. Seksyen 4(4) Fungsi dan Kuasa SUHAKAM, dengan jelas memperuntukkan bahawa:- “Bagi maksud Akta ini, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 hendaklah diambilkira setakat yang pengisytiharan itu tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan”.
ICERD ini juga adalah ancaman kepada Keharmonian Kaum dan Kestabilan Negara.
ICERD ingin menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum menurut tafsiran dan acuan yang asing daripada aspirasi Malaysia yang berdaulat.
Walhal, sejak berzaman lagi Malaysia telah harmoni melalui persefahaman dan kerjasama antara semua kaum TANPA perlu bergantung kepada sebarang Konvensyen seperti ICERD.
Jika ICERD diratifikasikan, ini akan menggugat kestabilan yang selama ini telah dikecapi rakyat.
ICERD juga akan memberi risiko kepada Pelaksanaan dan Implikasi Undang-Undang Antarabangsa.
Kita amat bimbang undang-undang antarabangsa ini akan memberi tekanan kepada Malaysia untuk merubah undang-undang kita, termasuklah kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perkara 153.
Bahkan ini boleh mengganggu gugat kedaulatan undang-undang kita.
Kami di pihak Gabungan Nasionalis amat menentang perkara ini dan menuntut Pengerusi SUHAKAM meletakkan jawatan kerana tidak lagi prihatin dengan kehendak rakyat.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi GN
14 Ogos 2024