12/02/2026
PROGRAM SEJAM BERSAMA AL-QURAN PERDANA; AHLAN WASAHLAN YA RAMADAN
BACHOK | 12 FEBRUARI 2026 | KHAMIS
Program Sejam Bersama Al-Quran Perdana; Ahlan Wasahlan Ya Ramadan telah berlangsung dengan jayanya di Masjid UMK Bachok, menghimpunkan warga universiti serta masyarakat setempat dalam suasana penuh penghayatan dan keberkatan.
Program tersebut menampilkan penceramah jemputan, Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar al-Hamid, seorang pendakwah bebas yang terkenal dengan penyampaian santai namun sarat dengan mesej rohani yang mendalam.
Penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama antara Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK serta Bahagian Pengurusan dan Kecemerlangan Bakat, Pejabat Pendaftar UMK dalam usaha menyemarakkan sambutan Ramadan dan memperkukuh pengisian kerohanian warga kampus.
Dalam pengisiannya, beliau menekankan kepentingan mengawal emosi sepanjang berpuasa, termasuk pengurusan syahwat dan hawa nafsu sebagai asas pembentukan sahsiah diri. Selain itu, beliau turut mengupas kaedah menangani perselisihan secara matang dan berhikmah, sama ada dalam organisasi mahupun dalam kehidupan bermasyarakat.
Program berkenaan turut mendapat penyertaan staf, pelajar, masyarakat tempatan serta wakil agensi luar, sekali gus memperkukuh jalinan ukhuwah antara universiti dan komuniti sekitar.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus menjadi wadah penyucian jiwa serta memupuk nilai kesabaran, toleransi dan keharmonian dalam kalangan warga universiti sepanjang Ramadan Al-Mubarak.
Kita Bersama
EntrepreneurshipUniversity
umk4u1hati1jiwa malaysiamadani