04/03/2026
PROGRAM HEBAT DI BULAN BERKAT (HEBAT 2026)
Pada 3 Mac 2026 (13 Ramadan 1447H) telah berlangsung dengan jayanya program “HEBAT di Bulan Berkat” (HEBAT 2026) bertempat di Dewan Sharifah Farah Adriana, SMK Syed Hussein, Arau. Program ini merupakan anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama SIG Islamic Education & Human Development (IEHDev), SMK Syed Hussein serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 80 orang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bersama 8 orang pensyarah dari ACIS UiTM Perlis dan 8 orang guru pengiring. Pelaksanaan program bersempena bulan Ramadan ini bertujuan memperkukuh kefahaman asas ibadah dalam kalangan pelajar berkeperluan khas melalui pendekatan praktikal, interaktif dan menyeronokkan.
Sepanjang program, para pelajar telah mengikuti beberapa slot pengisian utama antaranya Wuduk Dengan Betul, Solat Itu Indah, dan Saya S**a Puasa, selain aktiviti LDK yang menekankan kerjasama serta interaksi sosial positif. Peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil bagi memastikan bimbingan lebih efektif dan mesra pembelajaran.
Majlis Perasmian Penutup program telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ahmad Nizan Mat Noor, yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen dalam menjayakan program berbentuk khidmat komuniti dan pendidikan inklusif ini.
Secara keseluruhannya, HEBAT 2026 telah mencapai objektif yang dirancang dan memberi impak positif kepada peserta melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta penuh penghayatan sempena bulan Ramadan yang mulia.