08/03/2026
Rewang Bubur Lambuk Perdana: Kerjasama Yang Menghangatkan Ramadan 1447 H
Alhamdulillah, pada 6 Mac 2026, buat julung kalinya Program Rewang Bubur Lambuk Perdana berjaya dilaksanakan di SMK Taman Tasik hasil kerjasama erat Pusat Khidmat Rakyat DUN Lembah Jaya, PEKAWANIS, USAHANITA, PWB dan PIBG SMK Taman Tasik. Program berlangusng dari jam 8.00 pagi hinggan 5.00 petang.
Seawal pagi, para sukarelawan berganding bahu di dapur rewang, mengacau kawah bubur lambuk dengan penuh semangat gotong-royong. Setiap kawah bukan sekadar berisi bubur, tetapi sarat dengan keikhlasan, kebersamaan dan kasih sayang komuniti. Hasilnya, bubur lambuk ini berjaya diagihkan kepada semua pelajar SMK Taman Tasik, membawa kegembiraan kecil yang cukup bermakna di bulan Ramadan.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada YB Syed Ahmad, ADUN Lembah Jaya atas kesudian hadir ke sekolah dan meluangkan masa untuk bersama-sama menyantuni dan mengagihkan bubur lambuk kepada para pelajar. Kehadiran YB pastinya memberi kegembiraan dan kenangan manis buat warga sekolah.
Penghargaan penuh tulus juga kepada Puan Iryani, ahli PEKAWANIS merangkap isteri kepada YB Syed Ahmad, yang setia meluangkan masa dari awal pagi hingga tamat program, bersama-sama menyumbang tenaga dan semangat dalam menjayakan rewang ini.
Setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak SMK Taman Tasik yang sudi menyediakan tempat serta memberi sokongan penuh sehingga program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Ucapan penghargaan khas kepada Puan Norita, selaku Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Lembah Jaya, yang begitu komited dan bertungkus-lumus memastikan setiap perancangan berjalan lancar.
Tidak dilupakan juga NGO USAHANITA yang bersama-sama mengerah tenaga dari awal hingga akhir, memperlihatkan semangat sukarelawan yang cukup luar biasa.
Dan yang paling dekat di hati, team Sukarelawan PIBG yang sentiasa hadir membantu tanpa mengira masa dan penat lelah. Dari persiapan awal, memasak, membungkus sehinggalah pengagihan, semuanya dilakukan dengan penuh dedikasi. kalian memang sangat hebat!
Jika ada kekurangan sepanjang program ini, kami mohon ampun dan maaf. InsyaAllah, pengalaman pertama ini akan menjadi kenangan yang sangat berharga dan ruang untuk kita memperbaiki serta memperkukuhkan lagi kerjasama pada masa hadapan.
Semoga semangat rewang, ukhuwah dan kebersamaan yang terjalin pada hari ini akan terus hidup dan memberi manfaat kepada warga SMK Taman Tasik.
Dari dapur rewang, lahirnya silaturrahim. Dari satu kawah, terjalin seribu kenangan. 🤍
-PIBG SMKTT