Kolej Sultan Abdul Hamid

Kolej Sultan Abdul Hamid The official page of Sultan Abdul Hamid College.

PERHIMPUNAN BULANAN KOKURIKULUM & MAJLIS PERPISAHAN CIKGU SUHAIMEPada 22 Julai 2026 yang lalu, Kolej Sultan Abdul Hamid ...
23/07/2026

PERHIMPUNAN BULANAN KOKURIKULUM & MAJLIS PERPISAHAN CIKGU SUHAIME

Pada 22 Julai 2026 yang lalu, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan Kokurikulum yang dikendalikan oleh unit Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (Kadet JPJ). Perhimpunan yang berlangsung dalam suasana penuh tertib ini bertujuan menyemai nilai disiplin, kepimpinan dan semangat berpasukan dalam kalangan murid, di samping menghargai pencapaian kokurikulum warga sekolah.

Majlis dimulakan dengan perbarisan hormat oleh pasukan Kadet JPJ dan KRS sebelum diteruskan dengan pemeriksaan perbarisan oleh Tuan Pengetua. Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada murid-murid yang telah mengharumkan nama sekolah menerusi pelbagai pertandingan dan aktiviti kokurikulum di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Perhimpunan pada kali ini turut diserikan dengan Majlis Perpisahan Cikgu Suhaime sebagai tanda penghargaan atas segala jasa, komitmen dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat di KSAH. Warga sekolah menzahirkan rasa terima kasih serta penghargaan atas dedikasi yang telah dicurahkan dalam mendidik murid-murid dan menyumbang kepada pembangunan sahisiah murid di sekolah.

Pengetua KSAH, YBrs. Tuan Haji. Rosli bin Endut, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan perhimpunan ini, khususnya kepada unit KRS dan Kadet JPJ atas pengurusan majlis yang teratur. Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Cikgu Suhaime dan mendoakan agar beliau terus cemerlang dalam meneruskan khidmat bakti di tempat baharu.

PERTANDINGAN FORUM REMAJA MADANI PERINGKAT NEGERI KEDAH Pada 21 Julai 2026 yang lalu, Pasukan Forum Remaja Kolej Sultan ...
23/07/2026

PERTANDINGAN FORUM REMAJA MADANI PERINGKAT NEGERI KEDAH

Pada 21 Julai 2026 yang lalu, Pasukan Forum Remaja Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) telah berjaya muncul sebagai Johan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di SK Haji Nyak Gam. Kejayaan ini membuktikan kecemerlangan murid-murid KSAH dalam bidang pengucapan awam, komunikasi, pemikiran kritis serta keupayaan mengupas isu-isu semasa dengan penuh yakin dan berwibawa.

Pasukan forum KSAH yang diwakili oleh Nor Aleeya Shahiera binti Abdullah (Prau 2G), Muhammad Qazreen Amin bin Anuar Idris (Prau 2G), Amzar Rahimi bin Ahsannal (5D), Muhammad Zafran Aqil bin Abdul Hamid (4O) dan Ahmad Mukris bin Syahrun Nizam (4A) telah mempamerkan persembahan yang mantap sepanjang pertandingan sehingga berjaya dinobatkan sebagai johan negeri. Kejayaan ini sekali gus melayakkan pasukan Forum Remaja KSAH mewakili negeri Kedah ke Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan.

Pencapaian pasukan turut diserikan dengan kejayaan Nor Aleeya Shahiera yang menerima Anugerah Ahli Panel Terbaik, manakala pasukan KSAH turut merangkul Anugerah Montaj Terbaik. Pengiktirafan ini mencerminkan kualiti penyampaian, kreativiti dan kesungguhan pasukan dalam menghasilkan persembahan yang berkualiti serta berimpak tinggi.

Guru Kanan Bahasa KSAH, Cik Patricia Shanta Rao, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli pasukan atas kejayaan yang membanggakan ini. Penghargaan turut diberikan kepada barisan jurulatih iaitu Cikgu Mohamad, Cikgu Nazirah, Cikgu Hartini dan Cikgu Toh atas dedikasi serta bimbingan yang diberikan sepanjang persediaan pertandingan. Semoga pasukan Forum Remaja KSAH terus melakar kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negeri Kedah di peringkat kebangsaan.

PERTANDINGAN GEMA PANTUN WARISAN MADANI PERINGKAT DAERAH KOTA SETAR Pada 16 Julai 2026 yang lalu, Pasukan Pantun Kolej S...
21/07/2026

PERTANDINGAN GEMA PANTUN WARISAN MADANI PERINGKAT DAERAH KOTA SETAR

Pada 16 Julai 2026 yang lalu, Pasukan Pantun Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) telah berjaya muncul sebagai Johan kategori sekolah menengah dalam Pertandingan Gema Pantun Warisan MADANI Peringkat Daerah Kota Setar yang berlangsung pada 15 hingga 16 Julai 2026 di SMK Dato' Wan Mohd Saman. Kejayaan ini membuktikan keupayaan murid-murid KSAH dalam menghayati serta mengangkat seni warisan pantun Melayu melalui persembahan yang kreatif, berilmu dan berkualiti tinggi.

Pasukan KSAH diwakili oleh Umar Achmad Bin Rachmad Kurniawan (3A), Zaid Hafiy Atha'ullah Bin Zulfadhli (3A), Muhammad Syauqi Mirza Bin Mawardi (1A), Muhammad Aqif Darwisy Bin Mohamad Nasri (1S) dan Muhammad Tuah Zafran Bin Dzulkifli (1O). Sepanjang pertandingan, mereka mempamerkan persembahan yang mantap, penguasaan bahasa yang baik serta semangat kerjasama yang tinggi sehingga berjaya menewaskan pasukan-pasukan lain dan dinobatkan sebagai johan daerah.

Kejayaan pasukan turut diserikan dengan pencapaian cemerlang Umar Achmad yang dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Pusingan Awal 1, Pemantun Terbaik Peringkat Separuh Akhir dan Pemantun Terbaik Keseluruhan. Susulan kejayaan tersebut, pasukan KSAH akan mewakili daerah Kota Setar ke Pertandingan Gema Pantun Warisan MADANI Peringkat Negeri Kedah.

Guru Kanan Bahasa KSAH, Cik Patricia Shanta Rao, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta atas kejayaan yang membanggakan ini. Penghargaan turut diberikan kepada guru pembimbing, Cikgu Intan dan Cikgu Hajar, serta alumni KSAH 2025, Muhammad Hadif dan Muhammad Halif, atas bimbingan, komitmen dan sokongan yang telah diberikan sepanjang persediaan pertandingan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus mengharumkan nama KSAH di peringkat negeri dan seterusnya.

Jom Pakat-pakat Mai Tengok Raptai Penuh .. Isnin Nie 20 Julai 2026 .. Jangan Lupa!! Mai Tau Kita Bagi Meriah
16/07/2026

Jom Pakat-pakat Mai Tengok Raptai Penuh .. Isnin Nie 20 Julai 2026 .. Jangan Lupa!! Mai Tau Kita Bagi Meriah

PERTANDINGAN PENGUCAPAN AWAM (BAHASA INGGERIS) PERINGKAT DAERAH KOTA SETAR Pada 13 Julai 2026 yang lalu, murid Kolej Sul...
16/07/2026

PERTANDINGAN PENGUCAPAN AWAM (BAHASA INGGERIS) PERINGKAT DAERAH KOTA SETAR

Pada 13 Julai 2026 yang lalu, murid Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Cheng Chan Chuen (4G), telah mengharumkan nama sekolah apabila berjaya meraih Naib Johan dalam Pertandingan Pengucapan Awam (Bahasa Inggeris) Peringkat Daerah Kota Setar. Pencapaian tersebut membuktikan kebolehan beliau dalam menyampaikan ucapan dengan penuh keyakinan serta penguasaan Bahasa Inggeris yang cemerlang.

Sepanjang pertandingan berlangsung, Cheng menampilkan persembahan yang meyakinkan menerusi penyampaian yang lancar, idea yang tersusun serta gaya komunikasi yang berkesan. Ketokohan beliau dalam mengolah isi dan berinteraksi dengan audiens membolehkan beliau bersaing dengan peserta-peserta terbaik dari seluruh daerah Kota Setar sebelum dinobatkan sebagai naib johan.

Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan KSAH dalam memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris serta melahirkan murid yang berfikiran kritis, berdaya saing dan berketerampilan. Pencapaian tersebut diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih ramai murid untuk terus mengembangkan potensi dalam bidang pengucapan awam dan komunikasi.

Guru Kanan Bahasa KSAH, Cik Patricia Shanta Rao, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Cheng Chan Chuen atas kejayaan yang membanggakan ini. Penghargaan turut diberikan kepada guru pembimbing, ibu bapa dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan serta dorongan sehingga beliau berjaya mengharumkan nama KSAH di peringkat daerah.

PERTANDINGAN DEBAT GENERASI MADANI PIALA MENTERI PENDIDIKAN KATEGORI BAHASA MELAYU PERINGKAT NEGERI KEDAH Pasukan Debat ...
16/07/2026

PERTANDINGAN DEBAT GENERASI MADANI PIALA MENTERI PENDIDIKAN KATEGORI BAHASA MELAYU PERINGKAT NEGERI KEDAH

Pasukan Debat Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) telah berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan kategori Bahasa Melayu Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung pada 7 hingga 8 Julai 2026 di Sekolah Kebangsaan Putat. Pencapaian ini membuktikan keupayaan para pendebat KSAH untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh negeri Kedah menerusi hujah yang bernas, pemikiran kritis dan penguasaan bahasa yang cemerlang.

Pasukan debat KSAH yang diwakili oleh Maveen Dave A/L Naveen (3O), Umar Achmad Bin Rachmat Kurniawan (3A), Ariq Aqil Najmi Bin Suhaime (4G), Muhammad Afham Darwisy Bin Shahruddin (2D) dan Muhammad Alham Bin Ahmad Faidz (2G) telah mempamerkan persembahan yang konsisten serta semangat kerjasama yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung. Kejayaan meraih tempat ketiga di peringkat negeri merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan selepas pasukan ini muncul sebagai johan daerah Kota Setar sebelum ini.

Kejayaan pasukan turut diserikan dengan pencapaian individu yang membanggakan apabila Ariq Aqil dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik bagi Pusingan 2, Pusingan 3 dan Suku Akhir, manakala Maveen Dave p**a menerima pengiktirafan sebagai Pembahas Terbaik Peringkat Separuh Akhir. Pencapaian ini membuktikan keupayaan murid-murid KSAH dalam menguasai seni perdebatan, pemikiran kritis dan komunikasi berkesan di peringkat negeri.

Guru Kanan Bahasa KSAH, Cik Patricia Shanta Rao, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua peserta, jurulatih, guru pembimbing serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan komitmen sepanjang pertandingan berlangsung. Beliau berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada pasukan debat KSAH untuk terus melakar kecemerlangan pada peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

KEJOHANAN BOLING TENPIN MAJLIS SUKAN SEKOLAH  DAERAH (MSSD) KOTA SETAR TAHUN 2026Pada 25 Jun 2026 yang lalu, atlet bolin...
06/07/2026

KEJOHANAN BOLING TENPIN MAJLIS SUKAN SEKOLAH DAERAH (MSSD) KOTA SETAR TAHUN 2026

Pada 25 Jun 2026 yang lalu, atlet boling tenpin Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) telah mencatatkan pencapaian membanggakan dalam Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Setar 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 25 Jun 2026 di Aman Bowl, Aman Central. Kejohanan ini menghimpunkan atlet-atlet terbaik dari sekolah-sekolah sekitar daerah Kota Setar untuk bersaing dalam kategori Bawah 15 Tahun (U15) dan Bawah 18 Tahun (U18).

Dalam kategori U15, Muhammad Qayyim Yusufi bin Muhammad Izani (3D) berjaya muncul sebagai johan selepas mempamerkan persembahan cemerlang dan konsisten sepanjang kejohanan. Sementara itu, Muhammad 'Aakif bin Mohamad Azrai (1A) turut menunjukkan aksi yang membanggakan apabila menamatkan saingan di tempat keempat. Bagi kategori U18 p**a, Muhammad Hadif Hafiy bin Ahmad Taufek (4A) berjaya meraih tempat ketiga, manakala Muhammad Lutfil Hadi bin Mohd Bukri (5S) menamatkan pertandingan di tempat keempat.

Pencapaian ini membuktikan komitmen, disiplin dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan atlet boling KSAH. Kejayaan yang diraih bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah mencerminkan keberkesanan usaha pembangunan sukan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah serta dedikasi para atlet dalam mengimbangi kecemerlangan kokurikulum dan akademik.

Penolong Kanan Kokurikulum KSAH, Encik Mohamad Iqbal, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet yang telah mengharumkan nama sekolah dalam kejohanan ini. Penghargaan turut diberikan kepada para jurulatih, guru pengiring dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada para atlet. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar lebih banyak kecemerlangan pada peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Semoga Batch Invictus Buat Yang Terbaik Untuk Peperiksaan Percubaan SPM .. Kami Seluruh Warga KSAH Mendoakan Yang Terbai...
29/06/2026

Semoga Batch Invictus Buat Yang Terbaik Untuk Peperiksaan Percubaan SPM .. Kami Seluruh Warga KSAH Mendoakan Yang Terbaik Buat Batch Invictus

LAWATAN KE RADIO TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) KEDAH Pada 24 Jun 2026 yang lalu, seramai 18 orang murid dan 6 orang guru dar...
25/06/2026

LAWATAN KE RADIO TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) KEDAH

Pada 24 Jun 2026 yang lalu, seramai 18 orang murid dan 6 orang guru daripada Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) telah mengadakan lawatan pendidikan ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kedah. Lawatan yang melibatkan seramai 24 peserta ini bertujuan memberikan pendedahan kepada murid tentang dunia penyiaran, penerbitan media serta operasi sesebuah organisasi penyiaran awam.

Sepanjang lawatan, para peserta telah dibawa melawat beberapa bahagian utama RTM Kedah termasuk ruang rancangan, bilik kawalan utama (Master Control Room), bilik konti radio serta auditorium. Murid-murid turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan penyampai radio menerusi sesi soal jawab yang memberi pendedahan mengenai kerjaya dalam bidang penyiaran, teknik penyampaian dan pengurusan siaran radio.

Selain sesi lawatan, para peserta turut menghadiri sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Penerbit Rancangan RTM Kedah, Encik Mohd Zulhade bin Mohd Zuki. Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi pengalaman serta peranan RTM dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berkesan kepada masyarakat. Lawatan turut diselangi dengan jamuan makan tengah hari di kantin RTM sebelum rombongan bertolak p**ang ke sekolah.

Guru Kanan Bahasa KSAH, Cik Patricia Shanta Rao, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak RTM Kedah atas kesudian menerima kunjungan warga KSAH serta berkongsi ilmu dan pengalaman yang sangat bermanfaat. Beliau berharap lawatan seperti ini dapat terus diadakan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada murid untuk meneroka pelbagai bidang kerjaya dan menambah pengetahuan di luar bilik darjah.

PROGRAM ADVOKASI PERLINDUNGAN KANAK-KANAK: KASIH KANAK-KANAK SIRI 1 TAHUN 2026 PERINGKAT DAERAH KOTA SETAR Pada 24 Jun 2...
25/06/2026

PROGRAM ADVOKASI PERLINDUNGAN KANAK-KANAK: KASIH KANAK-KANAK SIRI 1 TAHUN 2026 PERINGKAT DAERAH KOTA SETAR

Pada 24 Jun 2026 yang lalu, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) telah dengan kolaborasi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar telah mengadakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Siri 1 Tahun 2026 Peringkat Daerah Kota Setar yang berlangsung di Dewan Iskandar. Program yang melibatkan murid Tingkatan 1, 2, 3, 4 dan Prauniversiti Rendah ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta pemahaman pelajar mengenai isu-isu semasa yang melibatkan kanak-kanak dan remaja, khususnya berkaitan aspek perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan diri. Selain itu, perkongsian ilmu dan pengalaman daripada penceramah jemputan diharap dapat memberikan pendedahan yang bermanfaat kepada murid dalam mendepani cabaran semasa.

Program tersebut melibat Slot Penjagaan Kesihatan Mental Remaja yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Alyana binti Mohamad Mohsin, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Kepala Batas. Seterusnya, Slot Ancaman Dadah dan V**e Kepada Remaja disampaikan oleh YBrs. Dr. Zaki Zamani bin Abd Rashid, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Negeri Kedah yang juga merupakan seorang Collegian. Di samping itu juga, terdaoat Slot Katakan Tidak! Lindungi Diri Daripada Gangguan dan Eksploitasi Seksual yang dikendalikan oleh Puan Siti Aisyah binti Abdul Ghani, Ketua Pembangunan Kanak-Kanak Daerah Kota Setar.

Majlis diakhiri dengan ucapan perasmian penutupan oleh Pengetua KSAH, YBrs. Tuan Haji. Rosli bin Endut. Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur, para penceramah serta semua pihak yang telah menjayakan program ini. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi yang lebih berpengetahuan, berdaya tahan dan sentiasa peka terhadap aspek keselamatan, perlindungan serta kesejahteraan diri.

Address

Kolej Sultan Abdul Hamid, Jalan Langgar
Alor Setar
05460

Opening Hours

Monday 07:40 - 17:00
Tuesday 07:40 - 17:00
Wednesday 07:40 - 17:00
Thursday 07:40 - 15:30
Sunday 07:40 - 17:00

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Kolej Sultan Abdul Hamid posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The School

Send a message to Kolej Sultan Abdul Hamid:

Shortcuts

Share

Category