30/07/2026
"Pemergiannya memang satu kehilangan besar kepada dunia silat. Sejak kecil hingga akhir hayat, seluruh hidupnya adalah untuk silat."
Demikian luahan Kasturi Raja Abdul Majid, 57, mengenang pemergian abang kandungnya yang juga Presiden Pertubuhan Gayong Pusaka Malaysia, Prof Dr Abdul Ghapar yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 59 tahun di kediamannya di Indera Mahkota, Pahang, kira-kira jam 3 pagi tadi.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tok J***t selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Ubi selepas Zohor yang dihadiri ribuan ahli keluarga, sahabat dan anak murid dari seluruh negara bagi memberikan penghormatan terakhir.
Kasturi berkata, beberapa hari sebelum meninggal dunia, arwah sempat pulang ke Kedah dalam keadaan uzur dan berkerusi roda, semata-mata mahu bertemu bapa, adik-beradik serta anak muridnya.
"Kesihatan arwah mula merosot sejak Mei lalu selepas beberapa minggu menjalani pembedahan memasang stent pada jantungnya. Walaupun datang dengan kerusi roda, malam itu dia tetap duduk melihat anak murid saya bersilat.
"Memang silat adalah jiwanya. Walaupun dalam keadaan uzur, dia masih mahu melihat latihan silat dan sebelum ini, ketika berkerusi roda pun dia masih turun mengajar anak murid.
"Dua hari selepas itu, kira-kira jam 3.30 pagi, saya dikejutkan dengan berita pemergian abang sebelum terus bertolak dari Sungai Petani (Kedah) ke kediamannya (Pahang)," katanya kepada Harian Metro.
SUASANA pengebumian Allahyarham Abdul Ghapar yang dihadiri ahli keluarga, sahabat dan anak murid.
SUASANA pengebumian Allahyarham Abdul Ghapar yang dihadiri ahli keluarga, sahabat dan anak murid.
Menurutnya, kehilangan Allahyarham amat dirasai kerana abangnya itu menghabiskan hampir seluruh kehidupannya untuk mengajar, mengembangkan serta mengangkat seni silat sehingga ke pentas antarabangsa.
Katanya, arwah bukan sekadar seorang abang, malah dianggap sebagai tok guru yang menjadi rujukan keluarga serta ribuan anak muridnya di seluruh negara.
"Walaupun dia abang, saya menganggapnya sebagai tok guru. Dia seorang yang sangat berdisiplin, tegas dan memang hebat dalam silat.
"Daripada kecil sampai akhir hayat, hidupnya memang dengan silat. Dia menghabiskan usianya dalam dunia persilatan dan sebab itu pemergiannya sangat dirasai," katanya.
Katanya, sebelum meninggal dunia, arwah seolah-olah menyedari keadaan kesihatannya semakin merosot apabila meninggalkan amanah kepadanya supaya meneruskan perjuangan dalam dunia persilatan.
"Dia pesan kepada saya supaya terus aktif dan jaga silat. Insya-Allah, saya akan pegang amanah itu dan meneruskan perjuangannya bersama keluarga, sahabat serta anak murid arwah," katanya.
Mengimbau pencapaian abangnya, Kasturi berkata, antara kejayaan membanggakan, Allahyarham pernah muncul juara dunia empat kali berturut-turut, sekali gus membantu mengangkat nama silat Malaysia di pentas antarabangsa yang ketika itu turut menyaksikan penguasaan pesilat Indonesia.
"Bukan itu sahaja, arwah pernah membuat persembahan silat di hadapan Maharaja Jepun pada era 1990-an sehingga mendapat gelaran 'Samurai Melayu'. Arwah juga memainkan peranan besar mengembangkan Gayong Pusaka sehingga dikenali ramai serta mempunyai ramai anak murid di seluruh negara," katanya.
AL FATIHAH....
Carian di internet...kredit utk owner posting asal..